Lindungi premis haram: Empat penguat kuasa MBSA direman tujuh hari

Astro Awani
Ogos 12, 2020 10:01 MYT
Empat anggota penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga rokok seludup dibawa SPRM ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Empat penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari hari ini kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.
Turut direman tujuh hari, seorang peniaga rokok seludup berbangsa Aceh kerana disyaki membayar wang rasuah RM300 sebulan kepada penguat kuasa.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Kelima-lima individu berkenaan, yang disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, direman mulai hari ini sehingga Selasa (18 Ogos).
Terdahulu, mereka empat penguat kuasa dan peniaga itu tiba di mahkamah pada kira-kira 8.40 pagi dengan digari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.
Semalam, keempat-empat penguat kuasa MBSA - tiga bertugas di cawangan Sungai Buloh, seorang di Shah Alam - ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas hadir bagi memberi keterangan.
Penahanan dibuat SPRM kerana mereka disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen.
Menurut laporan, pegawai-pegawai tersebut disyaki menerima rasuah antara RM300 dan RM3,500 secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar daerah itu.
BACA: Lindungi premis tanpa lesen: Tiga penguatkuasa MBSA ditahan terima rasuah ribuan ringgit
BACA: Seorang lagi anggota penguatkuasa MBSA ditahan terima rasuah - SPRM
Kes melibatkan peniaga di Sungai Buloh ini menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi di Bandar Baru Sungai Buloh.
Pendedahan dibuat menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia dan dikongsi oleh akaun Mohd Asri Hamid, 42 tahun, juga dikenali sebagai Asri Janggut.
Susulan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu.
BACA: Mohd Asri disiasat, bukannya dihukum - Menteri Dalam Negeri
BACA: MBSA dah banyak kali ambil tindakan - Penduduk
#Asri Janggut #burger #haram #judi #klip video #lindungi premis haram #Mahkamah Majistret Putrajaya #MBSA #penguat kuasa #peniaga #perlindungan #perniagaan #Rasuah #reman #SPRM #Sungai Buloh #tanpa lesen #Tular
;