Lindungi kanak-kanak dan warga emas ketika berhari raya - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Mei 13, 2020 18:32 MYT
Setiap anggota masyarakat perlu mengelakkan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. - Gambar hiasan
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan orang ramai agar terus melindungi kanak-kanak dan warga emas yang merupakan golongan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 sepanjang musim perayaan.
Justeru, setiap anggota masyarakat perlu mengelakkan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Yang penting ialah kita mengelakkan perhimpunan yang tidak patuh kepada SOP. Jadi apa yang kita maksudkan 20 orang itu (kebenaran ziarah) ialah ahli keluarga. Jadi dalam rumah pun, mungkin ahli keluarga kita 10 orang, mungkin juga keluarga besar 20 orang.
"Yang kita risau ialah mereka yang kembali dari luar dan mungkin yang membawa penyakit dari zon merah, pulang ke kampung dan berjumpa dengan ibu bapa yang berumur. Ada kebarangkalian dapat jangkitan daripada anak mereka. Jadi kita patut melindungi mereka yang berusia dan kanak-kanak," katanya dalam sidang media harian di sini pada Rabu.
Apa yang penting katanya bukan bersandarkan jumlah orang yang terlibat, sebaliknya bagaimana setiap daripada mereka mampu mematuhi SOP.
"Jadi tindakan kita yang penting ialah SOP, bukan angka tersebut. Kalau rumah yang besar dan keluarga yang besar, 20 orang itu mungkin kita dapat lihat. Namun kalau kita tidak patuh SOP, kita jarakkan atau jangan pulang ke kampung. Ini harus mendapat kerjasama semua agar dapat kekalkan kurangkan R0 (R naught) 0.3," tambahnya.
Setakat ini katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 hingga 4 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dapat mengurangkan kebolehjangkitan sesuatu virus atau R0 iaitu daripada 3.55 kepada 0.3.
Malah, jika langkah berjaga-jaga dan SOP tidak dipatuhi, beliau tidak menolak kemungkinan peningkatan kes yang mendadak pada pertengahan Jun nanti.
"Sekarang kita akan lihat, PKPB kita beri kelonggaran, tetapi kalau keluar kena patuh SOP, kalau tak patuh, R0 semakin meningkat. Kalau R0 meningkat sehingga 1.6, maknanya kita dalam bahaya dan mungkin dalam peningkatan kes mendadak.
"Dijangkakan mungkin boleh berlaku pada pertengahan Jun. Namun kalau semua bekerjasama dan ada tanggungjawab sosial dan patuh maka kita boleh kurang R0 kepada satu angka," jelasnya.
#anak #Dr Noor Hisham Abdullah #Kanak-kanak #keluarga #kesihatan #koronavirus #Media #Noor Hisham Abdullah #operasi #perhimpunan #rumah #SOP #warga emas
;