Limbang bakal jadi destinasi baharu bebas cukai

Astro Awani
Mac 25, 2019 15:04 MYT
Limbang ketika ini menerima banyak peruntukkan untuk menjayakan beberapa projek mega yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun. - Foto Google Maps
Sebut sahaja zon bebas cukai, pasti teringat dua destinasi popular seperti Langkawi dan Labuan.
Zon bebas cukai biasanya jadi tumpuan kerana harga barangan dan perkhidmatan dijual lebih murah berbanding tempat lain.
Selepas dua destinasi popular ini, Limbang di Sarawak mungkin bakal jadi destinasi zon bebas cukai ketiga di Malaysia.
Ini kerana Majlis Daerah Limbang (MDL) kini dalam proses menyiapkan kertas kerja bagi menjayakan perkara ini di masa hadapan.
Menurut Menteri Muda Pertanian Sarawak, Dr Abdul Rahman Ismail, kertas kerja itu akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.
Bagaimanapun ADUN Bukit Kota itu menambah perkara tersebut masih di peringkat dasar dan Limbang perlu punya infrastruktur yang cukup untuk merealisasikannya.
“Kerajaan persekutuan akan buat kajian, jika kebaikan melebihi keburukan program itu dilaksana dan jika belum sesuai masanya cadangan itu akan ditangguhkan sehingga keadaan memerlukan untuk meralisasikan perkara tersebut,” katanya.
Limbang ketika ini menerima banyak peruntukkan untuk menjayakan beberapa projek mega yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Ia bakal melibatkan projek naik taraf Tebingan Sungai Limbang, pembinaan jejantas, Taman Awam Limbang dan projek lain bernilai RM15 juta ringgit.
#Adun Bukit Kota #AWANI Sarawak #cukai #Limbang #Majlis Daerah Limbang
;