Limau mandarin naik harga

Sinar Harian
Januari 30, 2022 06:45 MYT
Limau mandarin menjadi juadah wajib ada ketika sambutan perayaan Tahun Baharu Cina. -Gambar fail/Freeimages
KUALA TERENGGANU: Persiapan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini disambut sederhana oleh masyarakat Tiong Hua di Terengganu susulan kenaikan harga barangan terutama limau mandarin yang menjadi juadah wajib dihidangkan kepada tetamu sempena perayaan itu.
Rata-rata mereka yang ditemui mendakwa terpaksa berdepan kenaikan antara RM8 hingga RM10 bagi setiap sekotak limau.
Wung Soo Chin, 63 berkata, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mengehadkan jumlah buah yang dibeli berbanding tahun lalu dan beralih membeli kuih tradisi sebagai buah tangan untuk diberikan kepada sanak saudara.
Katanya, tahun ini dia hanya mampu membeli sekotak limau berbanding empat kotak tahun lalu.
"Sebelum ini harga limau boleh dapat dalam RM15 hingga RM18 sekotak tapi tahun ini naik antara RM24 hingga RM28.
"Jadi saya hanya beli sekotak sahaja tahun ini hanya untuk dihidangkan di rumah dan tidak berikan pada kawan-kawan seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Katanya, selain isu kenaikan harga, mereka turut berdepan masalah kesukaran untuk mendapatkan bekalan limau di pasaran.
"Ramai yang susah nak dapatkan limau mandarin sampai cari di merata-rata tempat namun kebanyakan sudah dah habis dibeli," katanya sambil mengakui kali pertama berdepan situasi itu.
Senada dengan Soo Chin, Ng Phei Jin, 33 berkata, tahun ini bekalan buah limau pada tahun agak berkurangan berbanding tahun lalu menyebabkan dia terpaksa menggantikan juadah kuih tradisi untuk dihidangkan kepada tetamu.
Katanya, tahun ini dia mengurangkan kepada 30 kotak limau mandarin berbanding kebiasaan 50 kotak.
"Susah betul nak dapatkan buah limau sekarang sebab banyak tempat sudah habis. Walaupun harga agak mahal kita terpaksa beli juga kerana buah ini wajib ada pada sambutan Tahun Baharu," katanya.
Sementara itu, peniaga, Xin Lee, 52, berkata, kenaikan buah itu tidak dapat dielakkan atas pelbagai faktor.
"Banyak sebab harga limau naik dan bekalan kurang salah satunya kerana pandemik COVID-19.
"Kebanyakan buah limau ini diimport dari China, jadi berlaku masalah dari segi penghantaran.
"Selain itu, ia juga dipengaruhi faktor nilai mata wang ringgit yang jatuh di samping kenaikan kos logistik," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#limau mandarin #naik harga #Tahaun Baharu Cina #Wung Soo Chin
;