Limau Mandarin berkurangan akibat jerebu di China

Bernama
Januari 15, 2013 22:17 MYT
Limau Mandarin, buah wajib untuk sambutan Tahun Baharu Cina, dijangka kurang mendapat sambutan pada tahun ini berikutan harganya lebih mahal berbanding tahun sebelumnya.
Meskipun tidak sampai sebulan lagi masyarakat Cina akan menyambut kedatangan Tahun Ular yang jatuh pada 10 Feb, tinjauan Bernama di beberapa pasar borong dan kedai buah-buahan sekitar ibu kota mendapati limau Mandarin sudah mula dijual di pasar raya serta pasar borong seawal bulan Disember tahun lepas.
Rata-rata penjual limau Mandarin yang ditemui berpendapat selain harga yang melambung pada tahun ini, pengeluarannya yang berkurangan berbanding tahun sebelumnya akibat jerebu yang melanda China, pengekspot terbesar limau mandarin, menjadi faktor utama buah itu kurang mendapat sambutan pada tahun ini.
Petugas KL Fruit Sdn Bhd, Weng Hong, 29, berkata pihaknya menawarkan harga RM17 bagi sekotak limau mandarin bersaiz XL yang mengandungi 20 biji, namun harga dijangka naik RM1 hingga RM3 dalam masa beberapa hari lagi.
"Saya jangka harganya mungkin naik lagi beberapa kali berturut-turut sehingga hampir dekat dengan sambutan Tahun Baharu Cina, berbanding tahun lepas yang hanya naik sekali dua sahaja sekitar RM2.
"Lagipun, jerebu yang sedang melanda China juga menyebabkan pengeluaran limau mandarin berkurangan malah banyak buahnya yang tiba mengalami kerosakan akibat cuaca yang tidak menentu," katanya.
Syarikatnya yang merupakan pemborong, pembekal dan pengeluar buah-buahan tempatan dan import menawarkan limau Mandarin dengan harga borong antara RM28 dan RM30 sekotak bergantung kepada saiz dan gred limau.
Katanya antara jenis buah limau Mandarin yang mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat Cina ialah jenama Yong Chun saiz L hingga XXL sama ada 20 hingga 24 biji sekotak.
Pengendali Fruit Garden Klang Valley Sdn Bhd, Raja Erwan Raja Salim, 34, berkata kedainya yang mula menjual limau Mandarin sejak Disember lalu mendapat sambutan yang baik kerana rata-rata pembeli terdiri daripada pelanggan berbangsa Melayu.
"Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini yang mendapat banyak tempahan melalui telefon, kebanyakan pelanggan datang sendiri ke kedai kami yang terletak di Jalan Raja Alang, Kampung Baru membeli dalam kuantiti yang sedikit iaitu sekitar dua hingga tiga kotak setiap seorang," katanya.
Katanya tempahan dalam kuantiti yang banyak melalui telefon berkurangan berbanding tahun lepas kerana harga limau di pasaran sudah melonjak naik.
Peniaga buah-buahan di Jalan Petaling, S.Adnen, 30, berkata beliau tidak berani menjual dalam kuantiti yang banyak disebabkan permintaan yang sedikit.
"Biasanya, sebulan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina sudah ada ramai yang membeli buah limau mandarin dalam kuantiti yang banyak tetapi pada tahun ini, saya lihat limau mandarin tidak begitu laris kerana sudah mahal," katanya.
Katanya biasanya dia menjual RM24 sekotak bagi saiz L tetapi pada tahun ini harganya melonjak sebanyak RM3 iaitu RM27 sekotak.
"Ini kerana menurut pemborong kami, di China sekarang sudah kurang mengeluarkan buah itu kerana cuaca di sana tidak menentu," katanya.
#jerebu di China #limau mandarin #Tahun Baru Cina
;