Lima universiti awam wujudkan kesatuan pelajar tahun hadapan
Bernama
November 30, 2019 07:39 MYT
November 30, 2019 07:39 MYT
Sekurang-kurangnya lima lagi universiti awam akan menubuhkan kesatuan pelajar tahun depan, sebagai langkah memupuk kebebasan akademik dan amalan demokrasi di kalangan para pelajar, sekali gus membuka laluan pendedahan awal buat mereka terhadap sistem demokratik negara.
Pengarah Sektor Pembangunan Pelajar Malaysia Jabatan Pengajian Tinggi Dr Zaid Omar berkata kekurangan penyertaan pelajar dalam sistem demokrasi di peringkat universiti menjadikan penyertaan golongan muda dalam proses membuat keputusan di peringkat negara, cukup rendah.
"Kita ada 20 universiti awam dan mereka semua bersetuju untuk menubuhkan kesatuan pelajar dan memberikan kerjasama penuh," katanya selepas sesi Townhall bersama dengan pelajar Malaysia di Universiti of Manchester.
"Kita harapkan para pelajar akan mengambil bahagian secara aktif di universiti, bukan sahaja dalam menyuarakan pendapat politik, tetapi juga dari segi menganjurkan program dan acara-acara universiti, di samping mengambil bahagian dalam mesyuarat pengurusan universiti," tambahnya.
Beliau berkata usaha memperkasa para pelajar juga adalah selaras dengan sasaran kerajaan untuk memansuhkan akta-akta yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.
"Kita akan menghapuskan akta sedia ada termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Institusi Pendidikan (Disiplin) 1976 (Akta 174), Akta Syarikat bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan satu lagi akta untuk Institut Pendidikan Guru, dan menggantikannya dengan satu Akta baru dan komprehensif yang merangkumi semua akta-akta ini.
"Akta baharu ini akan bersifat lebih holistik dan memberikan lebih banyak kebebasan akademik serta memupuk lebih banyak integriti ke arah pendidikan tinggi dan seterusnya," katanya.
Zaid dijadual bertemu dengan pelajar Malaysia di luar negara, terutama di Manchester, Sheffield, Edinburgh, dan juga Kesatuan Pelajar Nasional bagi mendapatkan perspektif pelajar-pelajar Malaysia, di samping mempelajari lebih lanjut mengenai pemerkasaan pelajar di luar negara, dalam usaha membawa budaya positif ke dalam negara.
"Merujuk kepada universiti swasta, beliau berkata ada kira-kira 400 universiti dan kolej swasta di seluruh negara, namun mereka tidak dipaksa untuk menubuhkan kesatuan pelajar.
"Penghapusan Akta Institusi Pengajian Tinggi adalah selaras dengan janji dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan untuk membawa kredibiliti kepada universiti tempatan.
-- BERNAMA
#amalan demokrasi
#Jabatan Pengajian Tinggi
#kebebasan akademik
#kesatuan pelajar
#pelajar malaysia di luar negara
#penyertaan golongan muda
#sistem demokratik negara
#universiti awam
#Universiti of Manchester
#universiti swasta
#Zaid Omar