Lima unit rumah teres musnah dalam kebakaran di Temerloh

Bernama
Oktober 26, 2014 00:14 MYT
BOMBA: Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 1.42 pagi tadi dan padam sepenuhnya kira-kira pukul 4.01 pagi. -Gambar fail
Lima unit rumah teres kos rendah di Taman Mewah, Kuala Krau dekat Temerloh musnah selepas terbabit dalam kebakaran tengah malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.36 tengah malam tadi.
"Seramai sembilan anggota bomba bersama dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh bergegas ke lokasi kejadian dan seramai 24 anggota Bomba sukarela dari Kuala Krau turut membantu memadamkan api.
"Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 1.42 pagi tadi dan padam sepenuhnya kira-kira pukul 4.01 pagi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.
Katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
#bomba #kebakaran #Kuala Krau #taman mewah #temerloh