Lima unit rumah kedai musnah terbakar

Norfarhiza Mohd Atar
November 21, 2022 02:30 MYT
Anggota bomba bertungkus lumus membantu memadam kebakaran deretan rumah kedai di Kampung Sempalit, Raub awal pagi tadi. - Foto JBPM Pahang
RAUB: Lima unit rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal di Lorong 19 Kampung Sempalit di sini terbakar dalam kejadian, awal pagi tadi.
Kejadian tersebut bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.30 pagi tadi.
Menurutnya, seramai 27 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub, BBP Bentong dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Klau dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, pihak bomba mendapati berlaku kebakaran lima unit rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal. Kebakaran tersebut bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.
"Operasi pemadaman segera dijalankan dengan menggunakan empat aliran air bersumberkan tangki jentera bomba dan pili bomba berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan empat rumah kedai dua tingkat yang terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi terbakar 30 peratus.
Jelasnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian yang terlibat.
#rumah kedai #kebakaran #Kampung Sempalit #JBPM