DEWAN Rakyat akan bersidang semula pada 7 Oktober hingga 5 Disember 2019. Kemudian, persidangan ini akan diteruskan dengan sidang Dewan Negara yang bermula pada 9 hingga 19 Disember 2019.

Sesi ini ialah sesi persidangan Parlimen yang paling panjang, melebihi dua bulan. Maka, apakah perkara menarik untuk rakyat beri perhatian bagi persidangan kali ini? Bagi saya terdapat lima tumpuan pada sidang kali ini.


Belanjawan 2020

Pakatan Harapan (PH) akan membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019. Ini merupakan kali kedua kerajaan PH membentangkan belanjawan di Parlimen. Pertanyaan ‘siapa dapat apa, berapa dan bagaimana’ tentunya kini bermain dalam minda rakyat.

Ini merupakan belanjawan negara yang amat penting untuk melangkah masuk ke tahun 2020, tahun di mana Malaysia disasarkan menjadi negara maju.

Para ahli ekonomi berpendapat bahawa belanjawan kali ini mempunyai peranan penting bagi memastikan ekonomi negara dan rakyat kekal teguh untuk berhadapan dengan kelembapan ekonomi dunia pada tahun 2020.

Belanjawan 2020 juga menjadi pemangkin untuk merencana Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan mengangkat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai wawasan Malaysia baharu.


Rang undang-undang yang bakal dibentangkan

Berdasarkan sumber dan kenyataan media daripada kerajaan, Parlimen kali ini akan meneruskan agenda reformasi institusi untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang cekap dan telus.

Kerajaan PH didakwa akan membentangkan rang undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (ICPMC) untuk menambah baik integriti dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap tugas PDRM, bebas daripada pengaruh dan salah laku yang lain.

Akhirnya, selepas hampir 10 tahun cadangan penubuhan ICPMC ini, wakil rakyat berpeluang untuk membahaskan rang undang-undang ini di parlimen.

Antara RUU yang akan dibentangkan juga untuk sidang ini ialah RUU memansuhkan hukuman mandatori dan RUU Bank Makanan.


Pembangkang ‘Penyatuan Ummah’

Ini merupakan sidang parlimen pertama bagi UMNO dan Pas sebagai gabungan rasmi pembangkang. Kerjasama ini dijangkakan membawa isu-isu kepentingan kaum bumiputera beragama Islam yang menjadi prinsip perjuangan bersama mereka.

Tetapi, rakyat pastinya mahukan perkara yang lebih penting daripada pembangkang berbanding isu-isu sentimen dan emosi.

Rakyat pastinya terrtunggu-tunggu tawaran yang akan dibawa oleh pembangkang dalam belanjawan alternatif 2020 bagi mendepani cabaran ekonomi yang tidak menentu dan dasar alternatif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Mungkinkah UMNO akan memoerkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam belanjawan alternatif 2020 dan meyakinkan Pas yang dilihat tidak bersetuju dengan cukai tersebut?

Sama-sama kita lihat pada minggu ini.


Kertas Putih Pertahanan (KPP)

Kementerian Pertahanan akan membentangkan KPP untuk sidang kali. Menariknya KPP kali ini menyentuh tentang ‘pertahanan menyeluruh’, melibatkan peranan rakyat, agensi dan institusi pertahanan dalam mempertahankan negara.

KPP mempunyai matlamat untuk menyusun semula urus tadbir dan menyiapkan pertahanan negara bagi menghadapi cabaran masa hadapan, khususnya melibatkan ancaman bentuk baharu seperti cybersecurity.

Dengan KPP, ia membuktikan kewibawaan kerajaan PH memperkemaskan pertahanan negara, setanding dengan negara-negara maju yang mempunyai KPP seperti New Zealand, Britain dan Amerika Syarikat.

Lebih menarik lagi apabila KPP turut melibatkan kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, menandakan ia menggunakan pendekatan menyeluruh dalam aspek pertahanan negara.

Reformasi Parlimen

Tidak dinafikan, Dewan Rakyat telah menjalani fasa pemulihan selepas 60 tahun bergelar ‘rubber-stamp’ di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Perubahan ini telah mencipta ruang dan peluang kepada wakil rakyat menyemak dan meneliti ketelusan badan eksekutif, seperti sistem Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK).

Setakat ini, terdapat enam buah JPK yang telah ditubuhkan oleh Dewan Rakyat. Kebanyakan JPK fasa pertama ini melibatkan urus tadbir dan hak asasi manusia.

Apa lagi reformasi Parlimen selepas ini?

Cadangan untuk menambah JPK Dewan Rakyat harus disegerakan. JPK yang melibatkan isu-isu yang dekat dengan hati rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan sumber manusia begitu penting untuk parlimen agar wakil rakyat dapat terlibat sama dalam proses membuat keputusan dan mengkritik dasar kerajaan.

Bagi menjalankan peranan ini, amat penting bagi parlimen menerima peruntukan yang setimpal, khususnya dalam menyokong kerja-kerja di parlimen, untuk memastikan pembaharuan ini terlaksana dengan baik dan berkualiti.


Persidangan yang paling penting

Siapa sangka, ini merupakan persidangan Dewan Rakyat tiga bulan sebelum melangkah ke tahun 2020. Begitu banyak isu penting untuk memastikan Malaysia bersedia melangkah untuk mendepani cabaran masa hadapan. Persoalannya, sejauh manakah parlimen bersedia untuk membahaskan perkara penting ini?

Semua perkara ini antara yang terpenting untuk rakyat dan Malaysia. Ahli Parlimen diharapkan agar tidak menggunakan ruang yang ada untuk berbalah mengenai isu politik dan amalan yang bercanggah dengan semangat perlembagaan dan peraturan Parlimen sendiri.

Sekiranya perjalanan parlimen kali ini baik, maka ia akan membina satu semangat jitu untuk rakyat dan negara maju ke hadapan. Jika tidak, maka ia akan memperlahankan agenda pembangunan rakyat Malaysia walaupun menjelang 2020.



Fakhrurrazi Rashid ialah Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.