Lima termasuk seorang pelajar perempuan positif COVID-19 - MB Perlis

Astro Awani
Mac 16, 2020 16:14 MYT
Menurut Azlan, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 51 tahun, yang menghadiri perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. - Gambar fail
Lima individu termasuk seorang pelajar perempuan direkodkan positif COVID-19 di Perlis selepas tiga pesakit baharu diuji positif, semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kesemua mereka dilaporkan berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.
Menurut Azlan, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 51 tahun, yang menghadiri perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.
Manakala kes kedua melibatkan seorang wanita berusia 23 tahun, yang baru pulang dari Qom, Iran.
Difahamkan, tiga kes baharu itu, turut melibatkan jemaah yang menghadiri ijtimak tabligh sama.
Kesemua lima mereka kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan dilaporkan stabil.
“Klinik-klinik juga telah membuat persediaan yang sewajarnya, kalau sekiranya ada lagi kes-kes yang didapati positif ataupun yang perlu diberikan rawatan berterusan, di Arau pun kita wujud satu dan di Padang Besar. Di Hospital Tuanku Fauziah itu memang ada," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Setakat ini katanya, sejumlah 109 individu yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling itu ditempatkan di Dewan 2020, bagi menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan COVID-19.
Menurut Azlan, daripada jumlah itu, 23 sampel yang diambil adalah negatif manakala selebihnya belum ada keputusan.
Dalam sidang media sama, Azlan turut mengumumkan penangguhan acara Perlis Marathon yang dijadualkan 4 April ini, kepada satu tarikh yang akan diputuskan kelak.
Dalam perkembangan sama, Pihak Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPS) mengeluarkan arahan supaya pihak masjid menghentikan sebarang aktiviti diinstitusi agama negeri itu selama 14 hari, bermula hari ini.
Aktiviti pencucian kawasan masjid juga perlu diadakan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.
#Azlan Man #COVID-19 #Iran #Kangar #koronavirus #Masjid Jamek Seri Petaling #MB Perlis #Menteri Besar #Perlis
;