Lima tahun di pondok usang, Pok Mat dapat rumah baharu
Nur Fazlizai Ali
Jun 22, 2021 11:21 MYT
Jun 22, 2021 11:21 MYT
BESUT: Rumah usang dengan hanya berdindingkan kayu reput yang hampir menyembah bumi menjadi syurga buat seorang pencari lokan di Kampung Teluk Bayu, di sini.
Setiap kali hujan pasti lena Muhammad Yahya yang berusia 57 tahun itu terganggu dengan titisan air hujan yang membasahi tempat tidurnya yang serba kekurangan.
Muhammad, atau lebih mesra disapa dengan panggilan Pok Mat, telah lima tahun menghuni pondok usang peninggalan penduduk kampung.
Menurut Pok Mat, dia mula menetap di pondok usang itu selepas dipelawa rakannya yang merupakan seorang peniaga kain disekitar Kuala Besut.
"Saya tinggal dekat rumah ni dalam 5 tahun, sebenarnya ini rumah lama yang ditinggalkan orang dan sebab tiada pilihan, saya mengambil keputusan tinggal di sini.
Walaupun dalam keadaan serba kekurangan dengan ketiadaan bekalan air, elektrik dan sebagainya namun pondok berkenaan menjadi tempatnya untuk melepaskan penat lelah dan melelapkan mata.
Pok Mat berkata kebiasaannya selepas solat subuh dia keluar dengan mengayuh basikalnya untuk mencari lokan di sekitar sungai berdekatan dan akan mencari lokan itu antara dua hingga tiga kali seminggu bergantung kepada permintaan.
Lazimnya setiap kali mengutip lokan dia akan memperolehi hasil sekitar RM10 selain itu dia turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
Menyedari kepayahan yang dilalui Pok Mat itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman terus mengambil tindakan dan bantuan segera turut dihulurkan.
Menurut Tengku Zaihan, pihaknya sedang menguruskan rumah baharu untuk Pok Mat yang mana bayaran sewanya akan diuruskan oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).
"Kita dah berjaya mendapat rumah untuk Pok Mat yang mana bayaran sewanya akan diuruskan oleh pihak MAIDAM.
"Buat sementara, kita akan menempatkan Pok Mat di sebuah suraU berhampiran sementara menunggu proses dokumentasi antara Maidam dan pemilik selesai selain melihat keperluan yang lain," katanya.
Terdahulu, Tengku Zaihan bersama badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (MUSZLEEM) dan Koperasi Azlan Al-Amin Group hadir meninjau dan menyampaikan sumbangan kepada Muhammad.