Lima tahun berlalu, rayuan nelayan pendikir kembali
Marlina Manaf
April 6, 2018 07:45 MYT
April 6, 2018 07:45 MYT
Jika lima tahun lalu, nelayan pendikir berkongsi kebimbangan mereka mengenai beberapa isu. Kini, apakah yang telah berubah?
Bagaimana dengan kehidupan nelayan empat beradik, Abdul Rahman Mat, 52 tahun, Sakri Mat, 48 tahun, Azhar Mat, 40 tahun, dan Ramli Mat, 36 tahun, melalui transformasi dalam tempoh lima tahun ini?
TONTON: Suara nelayan pendikir
Saya kembali ke pantai sabak, bertanya khabar komuniti nelayan.
Ada perkembangan sejak kali terakhir isu mereka disuarakan.
Pertamanya, kewujudan pasar nelayan untuk kemudahan golongan ini mendaratkan ikan.
Hasil mereka kini dijual terus kepada satu pihak, bertujuan menstabilkan harga dan menjamin pendapatan nelayan.
Ia juga mengelak kegiatan orang tengah yang mengambil untung sewenang-wenangnya.
Selain pasar nelayan, turut dibina adalah jeti yang akan jadi pusat nelayan mengisi minyak.
Kemudahan ini belum siap buat waktu ini dan dijangka beroperasi beberapa bulan lagi.
Bagaimanapun, ia sudah cukup untuk memberi kelegaan kepada Ramli, pendikir paling bongsu dalam kisah nelayan pendikir empat beradik ini.
Kali terakhir ditemui, Ramli menyuarakan kesukaran komuniti nelayan menempuh perjalanan lebih sejam untuk mendapatkan diesel bersubdisi.
"Setakat sekarang ini, apa yang ada Alhamdulillah, saya puas hati. Saya pun nak berhenti menyanyi. Siang ke laut, kalau malam masih berdikir, penat.
"Tetapi, saya pastikan legasi dikir ini saya wariskan kepada anak-anak," kata Ramli.
Namun begitu, terdapat beberapa lagi isu yang menunggu penyelesaian. Masih ada ruang untuk diperbaiki demi hidup komuniti nelayan yang lebih baik.
Keadaan air yang cetek, contohnya, menyebabkan masih ada kekangan kepada mereka untuk meneruskan kegiatan harian.
Ada harinya, mereka tidak ke laut, kerana bot tidak dapat keluar dari jeti.
Ada hari, mereka terpaksa menolak bot bagi melepasi kawasan air cetek dan mengelak beting-beting pasir yang timbul.
"Air cetek, mengganggu, kadang-kadang kami keluar lewat, kerana terpaksa tolak bot kami.
"Ini satu masalah, ada kala terpaksa tolak bot secara manual," cerita Sakri kepada Astro AWANI.
Begitu juga, jeti yang usang menanti masa roboh, membahayakan keselamatan nelayan.
Tetapi bagi mereka, selagi kerja memukat ikan boleh diteruskan, hidup berjalan seperti biasa.
Mereka enggan lebih meminta.
Bagi Pengerusi Komuniti Nelayan Kampung Tanjung Sabak, Mohd Faiza Rashid, masalah yang melanda perlu diatasi.
"Masih banyak yang boleh diperbaiki. Adanya pasar nelayan boleh jadi satu titik kemudahan kepada nelayan, ia boleh jadi pusat operasi pembaikan bot, atau pusat tumpuan mendapatkan hasil laut."
Mohd Faiza mahu nasib komuniti nelayan diubah agar tidak semata-mata bergantung kepada hasil laut.
Sebaliknya, dengan kemudahan infrastruktur lebih baik, komuniti itu boleh meneroka pelbagai peluang menjana pendapatan.
Sebagai contoh, industri hiliran seperti industri inap desa.
#bot
#diesel
#Kelantan
#keselamatan
#MalaysiaMemilih
#nelayan
#operasi
#pantai sabak
#pasar nelayan
#pendikir