Lima suspek ditahan kes tembak mati kanak-kanak dua tahun

Astro Awani
Disember 22, 2015 03:47 MYT
Polis menahan suspek selain merampas kereta curi, empat pucuk pistol dan peluru. - Gambar hiasan
Lima orang telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian tembakan di Semenyih hingga mengorbankan seorang kanak-kanak berusia 2 tahun dan bapanya.
Akhbar The Star melaporkan, suspek pertama telah ditangkap polis dalam operasi besar-besaran mencegah jenayah terancang di Kajang dan kawasan sekitarnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, suspek pertama itu berusia 29 tahun dan telah ditahan di Bandar Sunway kira-kira jam 12.10 tengah malam Jumaat lalu.
“Sebuah kereta curi turut dirampas. Dia kemudiannya dibawa ke rumahnya di Taman Bukit Mewah, Kajang dan di situ sebuah lagi kereta curi ditemui bersama dua buah motosikal.
“Turut ditemui ialah empat pucuk pistol dan 69 peluru yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah,” ujar beliau dalam sidang media pada Isnin.
Mohmad berkata, dua suspek lagi telah ditahan 24 jam kemudian di Kajang sementara dua lagi tangkapan dibuat secara berasingan di Bangi dan Dengkil.
“Kami percaya dua daripada empat pistol itu ada kaitan dengan pembunuhan tersebut selain digunakan untuk kes jenayah lain seperti rompakan bersenjata,” katanya.
Pada 19 November lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut manakala bapanya cedera parah ditembak individu tidak dikenali di Jalan Besar, Pekan Semenyih.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, kanak-kanak berkenaan terkena tembakan di kepala manakala bapanya yang berusia 30-an ditembak di leher.
Kanak-kanak itu mati serta-merta di tempat kejadian manakala bapanya meninggal dunia di Hospital Kajang.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#jenayah bersenjata #Kajang #kes tembak kanak-kanak #Semenyih #suspek