Lima sekolah masih ditutup di Tumpat dan Pasir Mas

Astro Awani
Januari 2, 2013 15:07 MYT
Penangguhan sesi persekolahan lima buah sekolah di Tumpat dan Pasir Mas Kelantan diteruskan sehingga keadaan banjir reda.
Menurut Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussein Awang, pemantauan berterusan akan dibuat bagi menentukan sekolah perlu ditangguhkan pada hari berikutnya.
Tambahnya pelajar dan ibubapa yang terjejas akan dimaklum mengenai perkara berkenaan setiap hari.
Sekolah yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir termasuk Sekolah Bukit Awang Pasir Puteh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil di Pasir Puteh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Sementara itu, pelajar sekolah rendah dari beberapa kampung sekitar tidak sabar menantikan sekolah dibuka semula.
Walaupun sekolah ditutup, mereka bersyukur kerana peralatan sekolah sempat diselamatkan selepas rumah dinaiki air sedalam paras pinggang.
Sesi persekolahan terpaksa ditangguh sejak Isnin kerana masih ditenggelami air.
Antara yang masih ditutup Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong dan Sekolah Kebangsaan Teluk Jering.
#banjir #Kelantan #Pasir Mas #Penangguhan #Tumpat
;