Lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak maut kemalangan di Sibu
Bernama
Mei 5, 2018 23:44 MYT
Mei 5, 2018 23:44 MYT
Lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak maut apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka tersepit antara sebuah lori treler dan sebuah bas ekspres dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 49 Jalan Sibu-Bintulu hari ini.
Mangsa yang maut dalam kemalangan berdekatan Balai Polis Stapang kira-kira 3.45 petang itu ialah pemandu Gelunsin Anak Sugi, 44, isterinya Alfreda Anak Do, 33, serta tiga anak mereka Annatasia Ulas, 15, Camilla Angel, 10, dan Richmont Mumin yang dipercayai berusia empat tahun.
Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan dari Sibu ke Bintulu, dilanggar sebuah lori treler dari arah belakang.
"Kereta Perodua Viva itu kemudian melanggar sebuah Toyota Hilux yang berada di hadapannya menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu terlanggar kereta Proton Saga di hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua Viva terbabit memasuki lorong bertentangan lalu dilanggar sebuah bas ekspres yang datang dari arah Bintulu.
Kereta Perodua Viva itu tersepit antara bas dan treler itu. Pasukan paramedik Hospital Sibu kemudian mengesahkan mangsa sekeluarga itu meninggal dunia di tempat kejadian, katanya.
Beliau berkata pemandu bas ekspres itu dan lima penumpang yang mengalami kecederaan ringan dirujuk ke Hospital Sibu, manakala pemandu treler, Toyota Hilux dan Proton Saga, masing-masing tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Alimat Sam ketika dihubungi memberitahu selepas menerima panggilan pada 3.48 petang, satu pasukan dengan kekuatan sebuah jentera EMRS dan sebuah jentera utiliti dengan kekuatan 12 anggota dan seorang pegawai kanan dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kesemua mangsa dikeluarkan dengan menggunakan kelengkapan memotong bomba," jelasnya sambil menambah dua jentera berantai syarikat kontraktor pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo turut digunakan untuk mengalih kenderaan terbabit yang menghalang kelancaran lalu lintas.
Kesemua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada 5.45 petang.
-- BERNAMA
#bas
#Bintulu
#bomba
#Kanak-kanak
#kemalangan
#kereta
#mangsa
#maut
#meninggal dunia
#polis
#Sarawak
#Sibu