Lima sekeluarga rentung: Jiran terdengar jeritan kuat minta tolong
Bernama
Februari 13, 2025 12:55 MYT
Februari 13, 2025 12:55 MYT
Kebakaran rumah yang mengorbankan lima beranak di Kampung Berangan Enam, Umbai, awal pagi ini. Gambar kecil: Ab Kahar. - Foto Sinar Harian
JASIN: Jeritan kuat dari sebelah rumah mengejutkan jiran yang kemudian menyedari berlaku kebakaran menyebabkan lima sekeluarga termasuk empat kanak-kanak rentung di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini awal pagi tadi.
Saksi kejadian, Ab Kahar Ahmad, 70, berkata ketika itu dia terjaga daripada tidur kerana mahu minum air sebelum terdengar bunyi bising meminta tolong dan bunyi berlari dari rumah jirannya.
Dia kemudian menjenguk keluar tingkap mendapati rumah jirannya yang hanya berjarak kira-kira empat meter sedang marak dijilat api, dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu.
"Saya mendengar suami mangsa menjerit lari, lari, dan meminta tolong tetapi disebabkan semua pintu berjeriji besi berkunci isteri serta anak-anaknya gagal keluar untuk menyelamatkan diri.
"Saya juga berusaha menyimbah air ke rumahnya dan rumah sendiri kerana bimbang merebak namun api sangat marak dan pada masa sama anak lelaki saya menghubungi bomba untuk meminta bantuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ab Kahar berkata jirannya itu yang cedera patah kaki akibat kemalangan pada bulan lepas, berjaya dibawa keluar dari rumah itu melalui tingkap.
"Saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana api marak terlalu cepat dan semua pintu serta tingkap jeriji rumah berkunci... isteri dan empat anak jiran saya berusia 13 hingga 2 tahun meninggal dunia akibat kejadian itu," katanya.
Ab Kahar berkata dia mengenali keluarga mangsa sejak mereka berpindah ke rumah sewa itu kira-kira tiga tahun lepas dan kadang-kala menghantar makanan yang dibawa dari surau untuk anak-anak mereka.
Terdahulu lima sekeluarga termasuk empat kanak-kanak maut dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, di sini.
Identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.
-- BERNAMA