Lima sekeluarga nyaris rentung, rumah terbakar

Astro Awani
Mei 20, 2021 06:36 MYT
Siasatan awal mendapati api berpunca dari bilik tidur utama tingkat atas dan telah memusnahkan 40 peratus daripada keluasan rumah. - Astro AWANI
GOMBAK: Penduduk Taman Ukay Bistari, Gombak berdepan detik cemas apabila kediaman yang diduduki lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak terbakar.
Insiden yang sempat dirakam menunjukkan kejiranan setempat turut membantu mengeluarkan mangsa.
Kejadian jam 8 malam pada Khamis itu berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat.
Pusat gerakan operasi menerima panggilan pada jam 8.07 malam dan mengerahkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dan Pandan Indah.
Sebaik tiba, api sedang marak di tingkat atas namun ia berjaya dikawal 30 minit kemudian.
Menurut Ketua Zon Hulu Langat Zon 4 JBPM Selangor, Penguasa Bomba Kanan 1 Shahrin Yusma Md Yusof, siasatan awal mendapati api berpunca dari bilik tidur utama tingkat atas dan telah memusnahkan 40 peratus daripada keluasan rumah.
"Kebakaran hanya melibatkan struktur atas bahagian rumah dua tingkat iaitu ruang bilik tidur utama.
"Penghuni dilaporkan seramai lima orang iaitu dua dewasa dan tiga kanak-kanak.
"Tiada kecederaan dilaporkan dan punca siasatan dan juga taksiran masih dalam siasatan," katanya.
#rumah teres #kebakaran #mangsa #siasatan #Gombak #Taman Ukay Bistari
;