Lima sekeluarga maut nahas di KM 40 Jalan Kimanis-Keningau
Bernama
Ogos 22, 2015 13:07 MYT
Ogos 22, 2015 13:07 MYT
Lima sekeluarga maut manakala seorang kanak-kanak cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max yang dinaiki mereka hilang kawalan di Kilometer 40 Jalan Kimanis-Keningau, petang semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira 5 petang itu, pemandu kereta Nur Fitriati Sukarno, 28, dan empat anggota keluarga termasuk ibu, Supiati Mohd Salleh, 53, dua kakaknya Triana Nur Khasanah Sukarno, 34, dan Dwi Rahmahyanti Sukarno, 35 serta abangnya Eka Sudarmono Sukarno, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Muhammad Hamizan Mohd Khaidir mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Papar DSP George Abdul Rakman berkata, ketika kejadian kenderaan yang dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Tawau ke Kimanis.
Kenderaan yang dipandu Nur Fitriati itu dipercayai terbabas dan terbalik ke jalan bertentangan menuju ke Keningau, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.