Lima sekeluarga maut dalam perjalanan pulang menghadiri majlis perkahwinan
Noraniza Kamsani
Mac 31, 2019 05:13 MYT
Mac 31, 2019 05:13 MYT
Lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 101 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Kampung Semat di sini dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.
Ketua Polis Daerah Maran, Supt Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa yang maut dalam kejadian jam 3.15 petang itu ialah Musa Abdullah, 31 tahun, isterinya, Norsuraya Mohd Noor, 30 tahun, serta anak mereka Muhammad Zulkarnain, 3 tahun.
Turut terkorban, ibu dan bapa Norsuraya, Mohd Noor Che Mat, 78 tahun, serta Hashimah Ismail, 66 tahun.
"Kemalangan berlaku ketika Perodua Myvi yang dipandu Norsuraya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 6 dari arah Temerloh.
"Bagaimanapun, sampai di tempat kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan bergesel dengan sebuah Proton Iswara dan bertembung kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Ahad.
Katanya, pertembungan itu menyebabkan kelima-lima mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
"Seorang lagi anak Norsuraya, Nur Quraitun Ain, 5 tahun, patah kaki dan kini dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh," kata Norzamri.
Sementara itu, pemandu Proton Iswara berasal dari Temerloh, Mohd Yuszi Yusof, 46 tahun, dan pemandu Toyota Hilux berasal dari Mentakab, Tan Cheng Keot, 52 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambah Norzamri.
#Felda
#Felda Jengka 6
#hilang kawalan
#Jalan Kuantan-Kuala Lumpur
#Kanak-kanak
#kemalangan
#kereta
#maut
#Norzamri Abd Rahman
#perkahwinan
#Perodua Myvi
#polis
#Proton Iswara
#terbabas
#Toyota Hilux