Lima sekeluarga mati lemas di Hulu Terengganu

Bernama
Disember 19, 2015 22:19 MYT
Kesemua mangsa yang berasal dari Selangor itu dikenal pasti sebagai Abdul Halim Samian, 44, Nurul Adila@Salawati Awang, 39, Nurul Arifah Abdul Halim, 16, Nurul Aina Abdul Halim, 11, dan Nurul Izah Abdul Halim, 10. - Foto BERNAMA
Lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan mati lemas ketika mandi manda di Air Terjun Belukar Bukit di sini tengah hari tadi.
Kesemua mangsa yang berasal dari Selangor itu dikenal pasti sebagai Abdul Halim Samian, 44, Nurul Adila@Salawati Awang, 39, Nurul Arifah Abdul Halim, 16, Nurul Aina Abdul Halim, 11, dan Nurul Izah Abdul Halim, 10.
Pegawai Bomba Kanan II Zuraidi Mohd Yusof berkata seorang lagi mangsa, Mohd Hasif Abdul Halim, 9, bagaimanapun selamat.
Beliau berkata bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.35 pagi dan 11 anggota telah dikerah ke tempat kejadian.
"Mayat seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak perempuan dijumpai pada pukul 12.17 tengah hari, pada pukul 12.33 tengah hari mayat seorang perempuan dewasa pula ditemukan.
"Mayat terakhir dijumpai pada pukul 12.37 tengah hari tidak jauh dari lokasi semua mangsa dilaporkan hilang. Kesemua mayat ditemukan anggota dengan bantuan orang awam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua mayat berasal dari Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor itu dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh waris terdekat.
#air terjun #belukar bukit #Hulu Terengganu #mati lemas
;