Lima sekeluarga cedera apabila treler terbabas di Lebuhraya Plus
Bernama
Disember 3, 2014 11:54 MYT
Disember 3, 2014 11:54 MYT
Sebuah treler yang dinaiki lima sekeluarga hilang kawalan lalu terbabas di tepi bukit di Kilometer 235.6, Lebuhraya Plus arah selatan dari Pedas Linggi ke Simpang Ampat, dekat sini kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Mohd Zuki Abdullah berkata keluarga malang itu, suami isteri dan tiga anak mereka, mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.
Treler berukuran 12.19 meter itu membawa muatan bawang dan dipercayai terbabas kerana pemandu memandu dalam keadaan mengantuk, katanya kepada Bernama.
Enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dihantar ke lokasi kejadian dan mereka dibantu dua anggota Unit Gerak Cepat daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Seremban 2.