Lima sekeluarga berdepan detik cemas, MPV dihanyutkan arus banjir

Sinar Harian
Mei 16, 2022 06:30 MYT
Keadaan kereta Toyota Avanza yang dihanyutkan arus banjir di Kampung Dingkir Inas, Kuala Pilah, semalam. - Foto JBPM Negeri Sembilan/Sinar Harian
KUALA PILAH: Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan arus banjir dalam kejadian di Kampung Dingkir Inas di sini, petang Isnin.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Abdul Halim Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.36 petang dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
"Sebaik tiba, didapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki lima individu terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak dan seorang bayi hanyut dibawa arus banjir.
"Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke rumah mereka di Johol," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Abdul Halim berkata, pihaknya turut melakukan operasi menyelamat di Kampung Dingkir di sini selepas kediaman penduduk dilanda banjir kilat.
"Kejadian disebabkan hujan lebat sejak tengah hari itu melibatkan lima rumah dengan anggaran 12 orang penduduk," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #Abdul Halim Mohd Yusof #Toyota Avanza #Kampung Dingkir Inas
;