Lima sekawan termasuk pasangan suami isteri ditahan terbabit sindiket dadah

Astro Awani
September 26, 2022 12:30 MYT
Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor di sini hari ini. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Lima sekawan termasuk sepasang suami isteri ditahan dipercayai terlibat sindiket pembekalan dadah dalam empat serbuan berasingan di Iskandar Puteri dan Johor Bahru pada Jumaat lalu.
Menggunakan modus operandi beroperasi di rumah mewah gated and guarded, sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua suspek berusia 22 hingga 32 tahun itu ditahan bersama 21.1 kilogram ganja dan 784 gram syabu bernilai lebih RM67,000.
Sindiket ini dipercayai menyimpan dan menjual dadah kepada pengedar kecil-kecilan di negeri ini, sebelum bahan terlarang itu dijual kepada penagih.
Dianggarkan seketul ganja yang dianggarkan seberat 1 kilogram berharga RM2,500.
"Menggunakan rumah itu sebagai tersebut sebagai stor dan kadang-kadang dia repack, kalau kita lihat pada ini dia simpan dan mungkin dia akan jual kepada pembeli, kita akan siasat. Biasanya dadah ini dari negara jiran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor di sini hari ini.
Turut dirampas barangan kemas bernilai hampir RM40,000, tiga kereta dan dua motosikal dengan nilai keseluruhan sitaan RM188,000.
Hasil saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis methapethamine dan ketamin, serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kesemua suspek direman selama enam hari bermula Sabtu lalu sehingga 30 September depan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#sindiket dadah #Johor Bahru #Kamarul Zaman Mamat #ganja
;