Lima sekawan samun restoran dicekup sekitar Petaling Jaya

Bernama
Februari 20, 2013 21:36 MYT
Lima sekawan yang disyaki terlibat lebih 15 kes samun restoran di sekitar daerah ini, dicekup dalam serbuan berasingan di sini pada Isnin dan Selasa lepas.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata kesemua suspek yang berumur 16 hingga 18 tahun yang dipercayai aktif menyamun sejak tahun lepas di Damansara, Sungai Buloh dan Puchong diberkas hasil maklumat dan risikan polis sejak awal tahun ini.
"Polis pada mulanya menahan dua remaja lelaki di sebuah hotel bajet di Desa Mentari Isnin lepas dan merampas pelbagai barangan, dipercayai hasil curi antaranya kunci-kunci kereta, telefon bimbit, pemutar skru dan komputer riba.
"Tangkapan itu membawa polis ke sebuah kereta jenis Produa Myvi, yang dilaporkan baru disamun di daerah ini. Dalam kereta itu, kita temui dua bilah parang, peralatan untuk menyamun dan mencuri kenderaan serta dua topi keledar," katanya pada sidang media hari ini.
Thaiveegan berkata siasatan diteruskan dan polis menemui sebuah lagi kereta jenis Kia Picanto, yang dlaporkan dicuri di Desa Mentari.
Katanya pada keesokan harinya, dua lagi remaja diberkas di daerah ini dan polis merampas sejumlah telefon bimbit.
"Pada hari yang sama juga, di Kampung Lindungan, Sungai Way, seorang lagi rakan mereka dicekup.
"Dua lagi (rakan mereka) sedang dijejaki," katanya sambil menambah mereka menggunakan modus operandi menyamun pelanggan dan penjaga kaunter restoran dengan menggunakan parang sewaktu tidak ramai orang.
Thaiveegan berkata seorang daripada suspek yang ditahan, pernah ditangkap dan dituduh bagi kes yang sama dan menunggu untuk dibicarakan.
"Saya meminta pemilik restoran atau individu yang pernah menjadi mangsa kumpulan ini agar tampil bagi membantu siasatan. Kelima-lima suspek direman sehingga 23 Feb ini," katanya.
#cekup #restoran #samun
;