Lima sekawan nyaris maut kereta terjunam ke dalam gaung
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 8, 2022 18:20 MYT
Ogos 8, 2022 18:20 MYT
TELUK BAHANG: Lima sekawan nyaris maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung setinggi 30 meter di Jalan Teluk Bahang, Pulau Pinang dalam kejadian jam 3 petang Isnin.
Kesemua mangsa yang berusia 20 dan 21 tahun yang menaiki kenderaan jenis Proton Saga BLM itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Menurut Pegawai Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mass Rafiuddin Mass Ariffin, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.03 petang ketika mereka sedang melalui selekoh jalan berkenaan.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi kejadian anggota mendapati kenderaan tersebut telah terbabas dan terjatuh ke dalam gaung pada kedalaman 100 kaki (30 meter).
“Terdapat lima orang mangsa lelaki di dalam kenderaan tersebut.
“Anggota yang lengkap dengan PPE melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua mangsa telah berjaya dinaikkan ke kawasan yang selamat seterusnya diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
Mass Rafiuddin berkata operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.44 petang.