Lima saintis muda wakil Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate di Jerman

Bernama
Jun 19, 2023 17:32 MYT
Mereka akan menyertai 630 saintis muda terpilih seluruh dunia yang akan berinteraksi secara langsung dengan sekurang-kurangnya 40 Pemenang Anugerah Nobel. - Gambar/ ASM
KUALA LUMPUR: Lima saintis muda negara akan mewakili Malaysia pada Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 di Lindau, Jerman, yang dijadualkan berlangsung mulai 25 hingga 30 Jun.
Menurut Akademi Sains Malaysia (ASM), saintis muda berkenaan ialah Dr Liyana Azmi, 34, dari Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Norhasmira Mohammad, 33, (Universiti Teknologi MARA), Dr Wong Yin How, 35, (Taylors University), Dr Afifah Mohamed, 33, dan Dr Wong Sok Kuan, 34, (Universiti Kebangsaan Malaysia).
Dalam kenyataan hari ini, ASM berkata mereka akan menyertai 630 saintis muda terpilih seluruh dunia yang akan berinteraksi secara langsung dengan sekurang-kurangnya 40 Pemenang Anugerah Nobel dalam mesyuarat kali ini yang didedikasikan bagi bidang Fisiologi/Perubatan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam kenyataan yang sama berkata terdapat keperluan untuk memberikan peluang kepada saintis muda Malaysia turut serta dalam program-program bertaraf global, seperti Mesyuarat Nobel Laureate.
"Melalui perkongsian perspektif baharu serta idea-idea yang inovatif, saintis-saintis muda ini menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik. Langkah ini adalah penting untuk memastikan generasi baharu saintis dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran masa depan," kata Chang yang dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada kerajaan, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata penyertaan Malaysia itu adalah antara usaha ASM menerusi kolaborasi antarabangsa untuk memperkasa saintis muda dengan menyediakan mereka peluang untuk bekerjasama dengan saintis-saintis terkemuka di seluruh dunia.
"Ini juga memberikan mereka pendedahan yang amat berharga dengan antaranya dapat memperluas rangkaian, berkongsi idea, pengetahuan dan penyelidikan. Program ini diharap mampu memberi inspirasi serta motivasi kepada mereka untuk memajukan sains dan teknologi sekali gus memberikan impak positif kepada masyarakat," katanya.
Menurut ASM, Malaysia telah menghantar 84 saintis muda termasuk peserta tahun ini untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Nobel Laureate sejak 2004.
Selain itu, saintis-saintis muda berkenaan akan menyertai sesi antaranya syarahan, perbincangan terbuka serta peluang untuk bertemu Pemenang Anugerah Nobel secara santai menerusi 'Laureate Lunch'.
-- BERNAMA
#saintis muda negara #ASM #Mesyuarat Nobel Laureate #Jerman
;