Lima sahabat mengaku tidak bersalah rogol, lakukan amang seksual terhadap gadis bawah umur

Astro Awani
Ogos 27, 2020 08:10 MYT
Mahkamah menetapkan 23 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
Lima sahabat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang gadis berusia 15 tahun.
Kesemua tertuduh yang berusia antara 19 hingga 22 tahun memohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan dihadapan hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 22 tahun didakwa merogol mangsa pada pukul 12.15 pagi manakala tertuduh kedua, berusia 21 tahun didakwa melakukan perbuatan sama sekitar pukul 1.30 pagi.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 14 Ogos lalu di sebuah bilik chalet di Kampung Pagar Besi, Kuala Nerus.
Manakala dua lagi tertuduh yang berusia 19 tahun masing-masing didakwa merogol mangsa sama iaitu antara pukul 2 pagi dan 2.30 hingga 3 petang.
Sementara itu seorang lagi tertuduh berusia 20 tahun didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal ke atas mangsa antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi iaitu satu kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Hayatuddin Muhamad.
Mahkamah turut menetapkan 23 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
#amang seksual #gadis bawah umur #Kampung Pagar Besi #Kuala Nerus #lima sahabat #rogol