Lima rumah pondok terbakar ketika penghuni keluar Tarawih

Adie Sufian Zulkefli
April 15, 2021 23:50 MYT
Lima buah rumah dua tingkat di Pondok Fauzi musnah dalam kebakaran ketika penghuninya keluar untuk menunaikan solat Tarawih. - Foto ihsan JBPM
YAN: Lima buah rumah dua tingkat di Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang dekat Yan musnah dalam kebakaran ketika penghuninya keluar untuk menunaikan solat Tarawih, pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 9.38 malam dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi jam 9.41 malam.
Beliau berkata, operasi diketuai pegawai bomba, Muhammad Nor Iman Mustafa bersama tujuh anggota dan sebuah jentera.
"Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Limau Dalam, Gurun, Guar Chempedak, Padang Lembu, Bedong, Kampung Baru Rangkaian Simpang Empat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Fauzi berkata, setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran membabitkan lima buah rumah dua tingkat, bangunan Kelas 'B' dengan anggaran keluasan keseluruhan setiap rumah terbabit adalah 15 x 20 kaki.
Beliau berkata, api dapat dikawal pada jam 10 malam.
"Penilaian awal mendapati, kemusnahan akibat kebakaran kelima-lima buah terbabit adalah hampir 90 peratus rumah berkenaan.
"Tindakan anggota BBP Yan dibantu BBP Guar Chempedak serta PBS yang hadir ke lokasi mengawal dan memadam kebakaran menggunakan dua aliran tiga pancutan 300 kaki menggunakan air dari tangki jentera," katanya.
Fauzi berkata, setakat ini kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan di lokasi kejadian.
Beliau berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu kerana ketika kejadian kesemua penghuni keluar ke surau berdekatan menunaikan solat Tarawih.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
#kebakaran #terbakar #rumah pondok #Pondok Fauzi #solat tarawih #Kampung Sungai Udang
;