Lima rumah papan terbakar di George Town
Bernama
Julai 5, 2013 22:12 MYT
Julai 5, 2013 22:12 MYT
Lima rumah papan di Pengkalan Weld di sini terbakar hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Ismail Mohd Zain berkata lima jentera berkekuatan 34 anggota bersama anggota bomba sukarela dari Kampung Pisang dan Pulau Tikus dikejar ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada 4.14 petang.
"Api marak begitu pantas kerana struktur rumah dibuat daripada papan dan kedudukan rumah yang begitu rapat antara satu sama lain. Dua daripadanya terbakar 100 peratus dan selebihnya hanya terjejas di bahagian dapur sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata bomba turut mengalami kesukaran memasuki kawasan perumahan itu kerana laluan sempit selain keadaan rumah yang dibina berselerak.
Ismail berkata bomba berjaya memadam api sepenuhnya dalam tempoh 40 minit dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.
Sementara itu, seorang mangsa, Samsudin Mat Isa, 66, seorang pengawal keselamatan berkata ketika kejadian, beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di pusat bandar.
"Hari ini saya kerja syif malam, bila dapat panggilan telefon daripada anak, saya terus balik dan lihat semuanya sudah tinggal rangka, satu barangpun tidak sempat diselamatkan," katanya.
Samsudin, yang tinggal di rumah itu bersama isteri, Maznah Othman, 65, dan lima anak berusia antara tujuh dan 26 tahun, berkata mereka sekeluarga menyewa di situ sejak empat tahun lepas.