Lima rumah musnah dalam kebakaran di Semporna

Petrus Bernard
Mac 13, 2022 15:25 MYT
Kedudukan rumah yang terlalu rapat menyebabkan api merebak cepat dan menyukarkan operasi pemadaman. - Foto JBPM Sabah
SEMPORNA: Hampir 50 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Pinggir Bakau, Kampung Perigi, di sini pagi tadi.
Kejadian sekitar jam 9 pagi itu telah memusnahkan lima rumah iaitu sebuah jenis separuh kekal dan empat jenis tidak kekal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 pagi.
“Susulan itu, 12 anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam.
“Sebaik tiba, kebakaran sudah memusnahkan beberapa rumah, manakala api cepat merebak disebabkan pembinaannya yang terlalu rapat,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, pasukan bomba segera menjalankan operasi memadam dengan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
“Operasi turut dibantu lima anggota daripada BBP Atas Air, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Kepantasan dan kecekapan pasukan bomba berjaya menyelamatkan banyak rumah di kawasan kampung tersebut,” katanya.
Edoen berkata pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian bagi memastikan api terpadam sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.41 pagi.
“Setakat ini tiada sebarang laporan mengenai kecederaan mangsa atau kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran tersebut.
“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan anggaran kerugian yang dialami oleh mangsa,” katanya.
#kebakaran #Balai Bomba dan Penyelamat #Semporna #rumah musnah
;