Lima rumah musnah dalam kebakaran, 33 tinggal sehelai sepinggang

Rudi Affendi Khalik
Disember 12, 2022 08:00 MYT
Lima buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Pulo Ulu awal pagi Isnin. -JBPM Sarawak
KUCHING: Lima buah rumah musnah dalam kebakaran di Lorong 1, Kampung Pulo Ulu, di sini, awal pagi Isnin.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimansyah, kejadian menyebabkan 33 penghuni tinggal sehelai sepinggang.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jelas Hendery, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.46 pagi dan segera mengaktifkan tiga jentera dengan kekuatan 29 anggota ke lokasi dari Balai Petra Jaya, Tabuan Jaya dan Padungan.
"Setiba di lokasi, pasukan operasi melaporkan kebakaran melibatkan lima rumah jenis tidak kekal.
"Pasukan operasi menggunakan tiga aliran dengan tujuh nozel untuk mengepung api daripada merebak lebih luas.
"Tekanan air juga berfungsi baik, dengan pasukan menggunakan sumber pili, sumber terbuka dari Sungai Sarawak dan sumber air dari jentera.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.18 pagi, dengan pemadaman sepenuhnya berlaku pada jam 5.51 pagi.
Selain lima kediaman terbabit, siasatan awal mendapati sebuah kenderaan Perodua Axia dan empat motosikal berlainan jenama turut musnah.
Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.
#Kampung Pulo Ulu #Hendery Ardimansyah #Sungai Sarawak #33 penghuni tinggal sehelai sepinggang
;