Lima rumah, dua motosikal musnah dalam kebakaran
Amirrul Rabbani
Julai 23, 2022 18:16 MYT
Julai 23, 2022 18:16 MYT
PARIT BUNTAR: Lima buah rumah setingkat di Jalan Pantai, Kuala Kurau, dekat sini musnah selepas terlibat dalam kebakaran pada pagi Sabtu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.51 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau dikerahkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan lima buah rumah, kelas B setingkat dan berkeluasan 15X50 kaki.
“Dalam kejadian kebakaran berkenaan, dua rumah musnah 90 peratus, sementara tiga lagi masing-masing musnah 70 peratus, 40 peratus dan 35 peratus.
“Selain itu, kebakaran sama, dua unit motosikal musnah 30 peratus. Walau bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya lagi, pasukan bomba telah melakukan kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan tiga aliran dengan enam pancutan air sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Pada masa sama beliau berkata operasi berkenaan turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Parit Buntar, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Udang, PBS Kuala Kurau, PBS Jalan Bawah Kuala Kurau, PBS Tanjung Piandang dan PBS Bagan Serai.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Muhamad Irham Mohd Zin itu tamat kira-kira jam 1.05 tengah hari.