Lima rakyat Malaysia diselamatkan di Myanmar, dijangka pulang Rabu
Bernama
Februari 10, 2023 12:00 MYT
Februari 10, 2023 12:00 MYT
BANGKOK: Lima pencari kerja rakyat Malaysia, yang mendakwa telah diperdayakan untuk ke Myanmar dan dipaksa bekerja dalam sindiket penipuan siber, telah diselamatkan dan kini berada di Bangkok untuk dibawa pulang.
Bertindak atas maklumat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang, pihak lain dan sepasukan Tentera Thai telah ke KK Gardens di Myawaddy, Myanmar pada 3 Feb, serta menyelamatkan Adam Iskandar Tukiman, 20, Akmar Hamsan, 19, Kamil Abd Hamid, 25, Nur Fitriani Abdullah, 19, dan Lee Zhi Cong telah ditahan di situ.
Mereka dijangka tiba di Malaysia selewat-lewatnya pada 15 Feb, selepas menjalani proses dokumentasi dan prosedur yang diperlukan. Seorang lagi rakyat Malaysia, yang namanya dirahsiakan demi keselamatan, masih belum dapat diselamatkan.
Dia sepatutnya melarikan diri pada Selasa tetapi gagal sampai di titik pertemuan yang diaturkan di seberang sungai, di mana pihak berkuasa Thai sedang menunggu.
Sim, yang selama ini memainkan peranan penting dalam memastikan pembebasan 91 rakyat Malaysia di Kemboja dan Thailand, berkata lelaki berusia 33 tahun itu telah dipaksa bekerja untuk sindiket penipuan yang berpangkalan di KK Garden, sebuah kawasan luas yang menempatkan beberapa syarikat. Ia terletak di sepanjang Sungai Moei di bandar sempadan Thailand, Mae Sot.
"Difahamkan dia sudah lebih setahun berada di sini, tapi dia didera dengan teruk dan dipukul sampai dua tulangnya patah. Kerana kecederaan tulangnya itu, mungkin alami kesakitan, sehingga tidak boleh menyeberang sungai itu. Kita haraplah dia dapat diselamatkan dalam tempoh dua tiga hari ini. Mereka (Tentera Thai) sedang usaha (mencari) lokasi dia," katanya.
Sim yang berada di Thailand bagi membantu proses penghantaran pulang mangsa dari Myanmar, berkata ini akan menjadi perjalanan terakhirnya bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa perdagangan manusia.
Ahli perniagaan Malaysia yang berpangkalan di Bangkok, Wong, yang juga dikenali sebagai Muhammad Shaifuddin Lai Abdullah, telah banyak membantunya memberikan maklumat dan sokongan.
Sehingga 27 Jan, Polis Diraja Malaysia telah menerima 262 laporan mengenai 336 rakyat Malaysia yang terjebak dalam penipuan pekerjaan dan kini ditahan di Kemboja, Laos dan Myanmar.
Bagaimanapun, Sim berkata jumlah itu mungkin dianggap sedikit, namun mangsa yang diselamatkannya melaporkan terdapat lebih 1,000 rakyat Malaysia masih ditahan di KK Garden.
Beliau juga berkata kebanyakan mangsa penipuan dari Malaysia cenderung terdiri daripada kaum Cina, tetapi kini tumpuan telah beralih untuk merekrut orang Melayu dan India pula. Menurut laporan, kebanyakan pusat itu dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan Cina.
Seperti mangsa-mangsa lain sebelum mereka, Adam dan rakan-rakannya, yang menamatkan pendidikan peringkat sekolah menengah, berkata mereka direkrut untuk bekerja di sebuah hotel di Singapura atau Bangkok, Thailand dengan bayaran AS$1,100 sebulan (MYR4,735), namun malangnya telah diseludup masuk ke Myanmar.
"Masa tu kebetulan mak tak sihat, jadi nak cuba cari kerja yang gaji besar sikitlah," katanya ketika ditanya mengapa dia bersetuju mengikut rakannya itu.
Bapanya mengambil upah sebagai seorang pemotong rumput, manakala ibunya yang buta, seorang suri rumah. Beliau merupakan anak keenam daripada 11 beradik.
Adam berkata mereka perlu bekerja dari 8 pagi hingga tengah malam menggalakkan orang ramai di Facebook untuk mengklik pautan berniat jahat dan akan dihukum serta kadangkala dipukul, jika mereka gagal memenuhi kuota yang ditetapkan.
Mangsa berkata mereka menerima layanan buruk selain terpaksa berdepan kebuluran dan penyeksaan di bawah pengawasan seorang penyelia di pusat penipuan itu.
Seorang daripada mangsa, Goi Zhan Feng, seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 23 tahun yang telah terperdaya ke Bangkok melalui penipuan sindiket 'love scam' dan akhirnya dibawa ke Myanmar pada Januari 2022, di mana dia dipukul dan meninggal dunia akibat kecederaan parah, selepas empat bulan kemudian.
Walaupun kebanyakan kes membabitkan rakyat Malaysia dan pemerdagangan dilihat berlaku di Kemboja, namun Myanmar semakin popular sebagai hab aktiviti haram, kesan daripada penularan COVID-19 dan ketidakstabilan politik di Myanmar.
Sim berkata lebih ramai rakyat Malaysia akan terjebak dengan penipuan pekerjaan dan sindiket 'love scam' dan akan diperdagangkan ke negara lain melainkan, sesuatu tindakan dilakukan untuk meningkatkan kesedaran.
"Harap anak-anak Malaysia sedar. Jangan terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan dan cinta," tambahnya.
-- BERNAMA