Lima premis, satu gudang makanan diarah tutup kerana kotor
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 27, 2021 11:48 MYT
Oktober 27, 2021 11:48 MYT
LANGKAWI: Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan sebanyak lima premis termasuk satu gudang makanan di daerah ini ditutup selama 14 hari, selepas kebersihannya berada pada tahap tidak memuaskan.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo, berkata dalam Op Helang yang dijalankan bermula 22 hingga 25 Oktober, sebanyak 139 premis telah diperiksa.
Katanya, operasi itu memberi tumpuan kepada premis yang sering mendapat aduan daripada orang ramai selain pemantauan tahap kesihatan yang dijalankan pihaknya.
“Premis yang diarah tutup itu telah diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983.
“Sebanyak 73 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada pemilik dan pekerja premis dengan jumlah nilai tawaran kompaun sebanyak RM21,250.
“Manakala 20 notis kesalahan merokok di kawasan larangan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Othman memaklumkan, tindakan kompaun itu dikeluarkan di dua premis makanan, dua di kompleks membeli belah, enam di Terminal Feri Kuah dan 10 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di mana setiap individu dikompaun sebanyak RM5,000.
Jumlah amaun yang dikompaun dalam operasi hari ini bernilai RM36,000.
Kesemua tindakan itu mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Katanya, operasi selama empat hari itu melibatkan seramai 33 orang dari Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Kedah serta Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi dan Polis Di Raja Malaysia.