Lima PPS di Port Dickson, Rembau ditutup sepenuhnya

Bernama
Ogos 13, 2024 10:50 MYT
Kesemua lima PPS yang menempatkan 75 mangsa banjir kilat di Port Dickson dan Rembau semalam telah ditutup sepenuhnya pada 9.30 pagi tadi. -Gambar fail/APM
SEREMBAN: Kesemua lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 75 mangsa banjir kilat di Port Dickson dan Rembau semalam telah ditutup sepenuhnya pada 9.30 pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata semua mangsa pulang ke rumah masing-masing sebaik sahaja kawasan terjejas itu dilaporkan selamat.
"Walaupun air sudah surut, namun kita sentiasa bersiap siaga bagi menangani sebarang kejadian yang akan berlaku," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, sebanyak 75 mangsa daripada 23 keluarga dari Kampung Sawah Sunggala, Kampung Si Rusa Dalam, Kampung Linggi, Kampung Lubuk China dan Kampung Nerambai dipindahkan ke lima PPS susulan banjir kilat sejak 8 malam.
-- BERNAMA
#banjir #mangsa banjir #PPS #pusat pemindahan #Port Dickson