Lima petugas kesihatan digerakkan ke Long Jeeh untuk saringan COVID-19

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 29, 2021 10:27 MYT
Kesemua pasukan kesihatan menaiki helikopter Hornbill Skywyas berlepas dari Miri pada pukul 9.40 pagi. - Foto Astro AWANI
MIRI: Lima pasukan kesihatan digerakkan ke Long Jeeh, Ulu Baram di sini bagi tujuan saringan COVID-19 dan maklumat kesihatan awam di kawasan pedalaman berkenaan pagi Jumaat.
Kesemua pasukan kesihatan menaiki helikopter Hornbill Skywyas berlepas dari Miri pada pukul 9.40 pagi.
Sebuah lagi helikopter milik Layang Layang Aerospace akan ikut serta bagi membawa perkakas kesihatan dan sampel ujian saringan.
Perjalanan ke Long Jeeh itu dianggarkan mengambil masa 45 minit dan membawa masing-masing dua doktor dan pemeriksa kesihatan serta seorang jururawat dari Hospital Miri.
Pasukan kesihatan itu akan melakukan saringan COVID-19 ke atas lebih 100 penduduk di Rumah Panjang Long Jeeh hari ini sebelum pulang ke Hospital Miri membawa sampel untuk ujian makmal pada hari yang sama.
Terdahulu, dua penduduk rumah panjang tersebut disahkan positif COVID-19 dan sedang menjalani rawatan dan kuarantin di Hospital Miri.
Kawasan perkampungan di Long Jeeh dilaksanakan sekatan pergerakan selama 14 hari sehingga 9 Februari ini bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.
Dalam perkembangan sama, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Marudi juga digerakkan ke Long Jeeh, Ulu Baram untuk kerja-kerja sanitasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi Maureen Sim berkata pasukan sanitasi itu bergerak pada jam 6 pagi tadi dan dijangka tiba ke Long Jeeh pada jam 2 petang hari ini.
Sementara itu, bantuan bekalan makanan dan keperluan asas yang lain telah dihantar ke kawasan tersebut sekitar jam 2.00 pagi Jumaat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri.
Antara bantuan yang dihantar ialah 100 pek makanan asas, lampin pakai buang dan susu formula bayi.
#Saringan COVID-19 #Long Jeeh #pasukan kesihatan #Ulu Baram #Miri #pedalaman sarawak #Hospital Miri
;