Lima peratus daripada 8,529 KRT seluruh negara pasif

Bernama
Februari 9, 2025 09:40 MYT
Hasnol Zam Zam ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan dan Perasmian Bangunan Pusat Rukun Tetangga (PRT) Taman Keris/Batu 6 Lekir bertempat di Pusat Rukun Tetangga Taman Keris/Batu 6 Lekir, Manjung. - Foto X/Kementerian Peraduan Negara
IPOH: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengesan sebanyak lima peratus daripada 8,529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang berdaftar di seluruh negara didapati tidak lagi aktif.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata KRT yang pasif perlu dihidupkan semula bagi memastikan agenda memupuk perpaduan masyarakat diperkasakan.
Beliau berkata usaha memupuk perpaduan rakyat mesti dilakukan secara berterusan dan penglibatan seluruh KRT amat dituntut, malah pihaknya akan mengenal pasti faktor sebahagian KRT yang tidak lagi aktif.
"Kita perlu tahu sebab apa KRT tidak aktif, apa masalah dan apa kekangannya, mungkin masalah kewangan atau ada sebab-sebab lain yang berkaitan kepimpinan KRT itu sendiri.
"Untuk mewujudkan KRT di kawasan bandar perlu ada lebih kurang 1,000 hingga 1,500 penduduk manakala di kawasan luar bandar, 500 penduduk sahaja sudah boleh. Kita juga mahu pastikan KRT yang berdaftar terus aktif dan naik taraf kepada status KRT Progresif," katanya ketika ditemui Bernama malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Ronda Bersepadu Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS anjuran KRT Taman Chepor Raya di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPNIN Datuk Che Roslan Che Daud serta Pengarah Perpaduan Negeri Perak Mansor Mohd Hashim.
Mengulas lanjut, Hasnol Zam Zam berkata ketika ini terdapat 5,431 SRS yang membabitkan 8,529 KRT di seluruh negara dengan hampir 100,000 anggota SRS terlibat.
"Negeri Perak mempunyai 591 KRT yang berdaftar dan 424 daripada jumlah itu mempunyai pasukan SRS yang aktif, malah hari ini kita boleh lihat proses 'meremajakan SRS' untuk melonjakkan peranannya sebagai entiti penting pada peringkat komuniti.
"Banyak golongan muda yang terlibat, malah sudah tidak sama seperti dahulu lagi, kini generasi muda juga mempunyai tugas tersendiri dalam KRT," katanya.
Beliau berkata kerajaan kini memberikan perhatian khusus kepada agenda perpaduan negara dengan KRT menjadi ejen untuk membangkitkan kesedaran masyarakat.
-- BERNAMA
#KRT #JPNIN #pasif #Hasnol Zam Zam Ahmad
;