Lima penyelidik muda terima Merdeka Award Grant for International Attachment 2019
Sahlizah Mohamed
Disember 8, 2019 09:46 MYT
Disember 8, 2019 09:46 MYT
Lima individu dengan latar belakang berbeza mendedikasikan diri dalam usaha membawa perubahan untuk manusia sejagat dan kepada dunia.
Titik peluh dan pengorbanan bertahun lamanya itu akhirnya terbalas apabila kajian mereka menarik perhatian dunia dan dirai dalam momen yang cukup indah.
Kajian cecair berion polimer elektrolit, kajian konservasi menggunakan teknik genetik, kajian pembuatan perancah tulang, kajian kesihatan reproduktif dan sosial, dan kajian tekanan mental menjadi taruhan yang jelas menampakkan hasil memberangsangkan.
Lima bentuk kajian tersebut oleh lima individu berikut nyata memberi impak tersendiri sekali gus melayakkan mereka muncul sebagai lima penerima Merdeka Award Grant for International Attachment 2019.
Chrishen Robert Gomez, 25 tahun
Pengurus Penyelidik Program Karnivor Borneo
Kajian konservasi menggunakan teknik genetik ke atas harimau dahan dan karnivor di Borneo
Setahun setengah anak muda ini menjadikan Taman Bukit Tawau, Tawau, Sabah sebagai kediaman sementara hanya kerana jiwanya yang cintakan alam sekitar dan mahu memelihara khazanah alam itu sehingga ke titisan darah terakhir!
Memilih untuk menjejak data harimau dahan atau clouded leopard menjadikan Chrishen terpilih sebagai salah seorang penerima Merdeka Award Grant for International Attachment 2019.
Mengunjungi Chrishen di Tawau, anak muda ini nyata bersungguh dalam apa yang dilakukan sehinggakan ada kalanya memerlukan dia untuk memasuki hutan sehingga lapan hari semata-mata mahu menjejaki harimau dahan tanpa boleh bergerak ke mana-mana.
“Kami menggunakan beberapa jenis alat untuk mengesan pergerakan harimau dahan iaitu kamera perangkap dan kolar GPS dan penjujukan genetik (genetic sequencing)
“Kamera perangkap untuk memantau pergerakan karnivor di sekitar kawasan hutan, kolar GPS untuk mengumpul data harimau dahan sementara penjujukan genetik pula melihat sejauh mana haiwan ini berhubung dengan haiwan-haiwan lain di lokasi berlainan,” katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Lebih manis lagi apabila Chrishen dan kumpulannya berjaya memerangkap seekor harimau dahan pada 13 November lalu yang memiliki berat sekitar 25 kilogram!
Persediaan selama berbulan-bulan membuahkan hasil yang menggembirakan.
“Kami masuk hutan pada waktu malam untuk memastikan harimau berkenaan dalam keadaan yang baik. Kami mengenakan kolar GPS untuk pastikan kami menerima data ke mana ia bergerak dan bagaimana ia bergerak,” katanya.
Buat masa ini, Chrishen dan kumpulannya yang diketuai oleh Dr. Andrew Hearn secara intensif memantau pergerakan haiwan-haiwan liar di dalam hutan atas beberapa faktor.
Yang pertama untuk memahami bagaimana pergerakan mereka dan mereka menuju ke arah mana selain mengumpul sampel termasuk bulu, darah dan anggota badan yang lain.
Dengan menggunakan sampel itu, mereka boleh mengkaji ujian deoksiribonukleik (DNA) sekali gus memahami bagaimana perbezaan populasi haiwan-haiwan berkenaan berkait antara satu sama lain.
Bercerita tentang cabaran, persekitaran memainkan peranan penting kerana pencarian seekor harimau dahan memerlukan mereka mendaki bukit antara 17 hingga 20 kilometer.
“Dalam proses itu, kita kena seberang sungai, kita kena naik bukit, kita perlu memanjat, kita kena turun dan kita juga akan jatuh, semuanya bertambah sukar dari semasa ke semasa.
“Jadi saya fikir faktor ini membuatkan ramai orang tidak mahu melakukan kajian ini kerana hutan bukan lokasi yang mudah untuk bekerja. Saya sukan hutan, saya suka persekitaran ini dan saya tidak boleh bayangkan dunia tanpa semua ini.
“Sebab itu saya ingin memberi sebanyak tenaga saya untuk memelihara sebanyak yang saya mampu,” katanya.
Menurut Chrishen, pendekatan genetik ke atas haiwan liar amat jarang digunakan di Malaysia dan jumlah kajiannya sangat sedikit.
“Penggunaan genetik sebagai material utama penyelidikan digunakan untuk mendalami pemahaman kami terhadap konservasi dan ekologi haiwan liar.
Buat masa ini, Chrishen dan kumpulannya menjalankan kajian di hutan Taman Bukit Tawau yang keluasannya sekitar 240 kilometer persegi.
Populasi haiwan di hutan itu kini dipisahkan daripada populasi haiwan liar di hutan lain disebabkan kawasan perumahan, pertanian dan aktiviti manusia.
“Jika kawasan perumahan dan ladang-ladang menjadi halangan untuk hidupan liar menyeberang ke hutan yang bersempadan, jadi ini adalah penyelidikan yang sangat penting sebab kita ingin mencari keseimbangan antara pembangunan dengan konservasi.
“Jadi geran Merdeka Awards ini akan membawa saya ke Universiti Brown di Amerika Syarikat (AS). Di sana saya akan bekerja di dalam makmal yang sudah bertahun menjalankan kajian konservasi menggunakan genetik.
“Ramai pakar-pakar di sana boleh memberi bimbingan kepada saya untuk menggunakan genetik sebagai alat survival haiwan liar untuk terus hidup,” katanya.
Chrishen akan ke AS Februari tahun depan selama tiga bulan.
Juliana Ooi Sue May, 34 tahun
Usahawan sosial dan sukarelawan kesihatan reproduktif dan sosial
Kajian 'tool kit' kesihatan reproduktif dan sosial
Pembuangan bayi? Hamil di bawah umur? Penyakit kelamin dalam kalangan remaja? Jangan salahkan mereka 100 peratus.
Juliana pernah berkhidmat sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan reproduktif selama 12 tahun dan berpeluang mendekati remaja yang ditempatkan di beberapa institusi pemulihan akhlak.
Selama tempoh itu, Juliana mendengar keluhan, suara dan cerita anak-anak muda yang sering dipandang rendah, dikeji dan didiskriminasi atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.
“Melalui pemerhatian saya, pemuda-pemuda yang berada di pusat pemulihan ini, pertamanya mereka tidak mempunyai pengetahuan yang betul tentang kesihatan reproduktif dan sosial.
“Keduanya mereka mempunyai isu untuk berkomunikasi dengan ibu bapa, penjaga dan keluarga.
“Walaupun ramai yang selalu menyalahkan anak-anak muda ini, tetapi punca terjadinya gejala sosial ini adalah anak-anak muda tidak mendapat informasi atau ilmu pengetahuan yang betul tentang kesihatan reproduktif dan sosial.
“Pada pendapat saya, kita perlu wujudkan suasana kekeluargaan di mana kesalahan ini bukanlah hanya semata-mata perlu dihukum, tetapi kita memberi peluang kepada anak-anak muda untuk mendapatkan maklumat yang betul dan mendidik mereka membuat keputusan dengan lebih baik,” katanya.
Justeru, Juliana tampil dengan kaedah dalam kajiannya untuk mencipta alat bantuan mengajar menggunakan ‘tool kit’ bagi memberikan lagi gambaran jelas mengenai kesihatan reproduktif dan sosial.
Katanya, ketika ini, walaupun terdapat sumber atau modul sedia ada, ia dibangunkan dalam bentuk bahan bacaan yang sangat tebal dan memerlukan bacaan berat dari segi teknikal yang mana ia lebih sesuai digunakan oleh tenaga pengajar atau pelatih.
“Kalau kita nak menyenangkan ibu bapa untuk membincangkan topik ini bersama anak-anak mereka, kita kena jadikan bahan itu senang dan padat, mudah untuk dikongsikan.
“Penyelidikan juga menunjukkan salah satu faktor yang menyebabkan isu atau pun gejala sosial adalah disebabkan kekurangan komunikasi yang bagus antara ibu bapa dan anak anak mereka.
“Walaupun ini merupakan topik yang taboo atau tidak selalunya dibincangkan dalam masyarakat, tetapi adalah penting untuk kita jadikan perbincangan ini sesuatu yang positif, sesuatu yang senang dan matang antara ibu bapa dan anak anak mereka,” jelasnya.
Justeru, terpilih sebagai salah seorang penerima Merdeka Award Grant for International Attachment 2019 memberikan Juliana peluang menuntut ilmu berkenaan “penyelidikan berasaskan bukti” (Evidence-based research) dengan lebih dalam bersama pakar-pakar di insitusi kesihatan reproduktif dan sosial di luar negara.
“Segala ajaran dan bimbingan saya bersama mereka kelak akan saya laksanakan dan bawa pulang ke Malaysia dan selepas itu kita dapat sesuaikan ia berdasarkan budaya yang kita ada di sini,” jelasnya.
Dr Yanny Marliana Baba Ismail, 33 tahun
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral USM
Kajian pembuatan perancah tulang
Dilahirkan dalam keluarga yang berlatarbelakangkan perubatan, Dr Yanny telah lali melihat pelbagai kes trauma yang melibatkan kerosakan tulang yang kronik.
Pengalaman paling menyedihkan apabila beliau melihat pesakit yang dibawa dari tempat kemalangan kehilangan sebahagian besar tulang mereka untuk selamanya akibat kecederaan tulang yang parah.
“Ini benar-benar merupakan detik yang sangat menyentuh hati kecil saya. Melihat penderitaan pesakit-pesakit ini, saya nekad menjadi seorang jurutera bahan dan profesor pada satu hari nanti.
“Dengan harapan untuk menginovasikan bahan-bahan pintar yang baru untuk aplikasi bioperubatan bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang penyelidikan, beliau telah banyak melakukan kajian berfokuskan biobahan sebagai bahan tulang gantian.
Menurut Dr Yanny, memang terdapat tulang gantian yang digunakan dalam klinikal, namun harganya terlalu mahal sekali gus tidak mampu dibiayai oleh pesakit-pesakit terutamanya dalam golongan 40 peratus terbawah (B40).
Walaupun bahan gantian yang digunakan ini tidak toksik tetapi ia mempunyai banyak perbezaan dengan tulang manusia dan mungkin boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain di masa hadapan.
“Jadi ini telah memberi inspirasi kepada saya untuk cuba menolong pesakit-pesakit yang memerlukan selepas mengalami kemalangan yang melibatkan kerosakan tulang supaya dapat menjalani kehidupan harian seperti sediakala.
“Seperti mana yang kita ketahui, kadar kemalangan di Malaysia adalah sangat tinggi terutamanya kemalangan jalan raya diikuti kemalangan semasa bersukan.
“Dengan pembuatan perancah tulang (smart material) yang baharu ini, saya akan cuba untuk lebih memahami dan mereplikasikan komposisi dan juga struktur yang sama dengan tulang manusia,” katanya.
Tambah beliau, perancah tulang baharu ini telah diuji dan disahkan tidak memberi kesan toksik kepada sel-sel tulang manusia.
Menurutnya, ‘smart material’ yang diperbuat ini akan diuji dengan beberapa kaedah biologikal yang lebih spesifik lagi bagi membuktikan ia benar-benar mampu menggalakkan penyembuhan tulang dengan cepat secara semulajadi dan ia akan melarut dengan sendiri pada kadar yang lebih kurang sama dengan pertumbuhan tulang baharu.
“Disebabkan ‘smart material’ ini diformulasikan untuk menyerupai komposisi dan struktur tulang manusia, jadi bila kita masukkan ke dalam badan pesakit, sistem tubuh tak akan mengesan ‘smart material’ atau perancah tulang ini sebagai suatu benda asing.
“Sistem badan kita akan nampak yang perancah tulang ini seolah-olah sama dengan tulang kita yang lain, dengan ini ia dapat membantu pesakit untuk sembuh dengan lebih cepat dan sekali gus mengurangkan kos perubatan,” jelasnya.
Selama ini jutaan ringgit telah diperuntukan untuk mendapatkan khidmat kepakaran serta alatan, ubat-ubatan dan produk perubatan dari luar negara, diharapkan hasil penyelidikan dalam pembuatan “smart material” ini dapat memberikan keputusan positif dan menjadi titik permulaan produk buatan Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan .
Dipilih sebagai lima yang terbaik untuk Merdeka Award Grant for International Attachment 2019 seakan diberi satu suntikan motivasi baginya untuk meneruskan kajian dengan lebih gigih.
Beliau juga berharap kejayaannya ini dapat menjadi contoh yang baik kepada para pelajarnya dan menginspirasi generasi muda di Malaysia untuk meneroka dunia sains dan teknologi dalam menginovasikan sesuatu yang pintar untuk kegunaan ramai di masa hadapan.
Ia juga merupakan peluang keemasan bagi Dr Yanny selaku pensyarah muda di USM untuk memulakan kajian kolaborasi di peringkat antarabangsa bersama penyelidik-penyelidik di universiti ternama di United Kingdom.
Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Prof Madya Ir Dr Syed Fuad Saiyid Hashim berkata, secara umumnya, penyelidikan ini melibatkan beberapa institusi yang mana ia dapat memberi kerjasama di antara organisasi-organisasi luar kepada pusat pengajian.
“Seterusnya kepada industri dan juga universiti-universiti yang berkaitan untuk memberi satu kerjasama, satu kesinambungan terhadap satu penyelidikan yang menyeluruh serta universiti universiti yang terlibat,” jelasnya.
Penuntut Ijazah Doktor Falsafah di Pusat Penyelidikan Isyarat Neuro Pintar dan Pengimejan (CISIR) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Teknologi Petronas (UTP)
Kajian tekanan mental melalui teknik pengimejan otak optikal topografi
Persatuan Psikiatri Malaysia mengeluarkan statistik berhubung kenaikan sebanyak 50 peratus jumlah pesakit yang berdepan tekanan dalam kalangan rakyat Malaysia di antara tahun 2011 hingga 2019.
Peningkatan jumlah individu yang berdepan masalah tekanan mental dalam kalangan pekerja di Malaysia rata-ratanya disebabkan oleh bebanan kerja dan kos sara hidup yang seiring dengan pembangunan negara.
“Kajian ini bertujuan mengukur tahap stress atau tekanan mental pada seseorang dengan menganalisis isyarat near-infrared spectroscopy (fNIRS)ke otak manusia. Kaedah ini lebih mudah alih, kos efektif dan mudah dipakai untuk tujuan penyelidikan bukan klinikal berbandingkan fMRI.
“Saya cuba mencari penanda (biomarker) daripada isyarat otak untuk mengetahui punca tekanan seseorang,” katanya.
Menurut Feng lagi, tekanan terbahagi kepada dua iaitu bebanan kerja dan situasi yang mengubah corak kehidupan harian seseorang.
Kegagalan mengetahui punca tekanan sama ada disebabkan bebanan kerja atau situasi, kedua-dua faktor itu sukar ditangani.
“Saya berdepan banyak cabaran dan antara cabaran utama adalah faktor manusia itu sendiri kerana kajian ini berasaskaj isyarat otak.
“Dan manusia merupakan makhluk yang pintar dan kompleks, berasal daripada latar belakang dan genetik yang berlainan
“Oleh itu terdapat banyak faktor yang akan mempengaruhi penyelidikan ini yang berkaitan dengan tingkah laku manusia.
“Kajian ini juga memerlukan ilmu pelbagai bidang misalnya kaedah pengimejan otak, neuro sains, kejuruteraan dan statistik, untuk memperolehi dapatan statistik yang sahih,” jelasnya.
Feng berasa bersyukur atas sumbangan dana Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCOE) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia serta biasiswa Yayasan UTP yang membolehkan beliau menceburi bidang yang penuh bermakna ini.
Secara keseluruhannya, Feng amat berterima kasih atas anugerah berkenaan dan dia menyifatkan peluang keemasan untuk lebih mendalami bidang sains neuro di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Dr Eric Ho Tatt Wei berkata, sejak Feng terpilih sebagai penerima Merdeka Award Grant for International Attachment 2019, beliau dapat melihat ramai lagi pelajar di UTP berusaha keras untuk melakukan perkara sama.
“Motivasi pelajar kami bertambah dan saya rasa anugerah ini satu pengiktirafan bahawa pemikiran manusia merupakan gabungan antara biologi, sains neuro, sains kognitif dan kejuruteraan.
“Tibalah masa untuk zaman kajian isyarat otak,” katanya.
Dr Mohd Azri Ab Rani, 35 tahun
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam
Kajian cecair berion polimer elektrolit sebagai pemisah untuk aplikasi sodium ion bateri
Bateri digunakan secara meluas hampir untuk semua kegunaan harian manusia dan Dr. Azri tampil dengan kajiannya mencipta ‘bateri masa depan’ iaitu cecair berion polimer elektrolit sebagai pemisah untuk aplikasi ion bateri.
Paling utama bateri ini menjimatkan kos. Ini kerana harga sumber bahan mentah iaitu logam sodium adalah 100 kali ganda lebih murah berbanding logam lithium untuk menghasilkan bateri.
"Tambahan pula, nisbah simpanan logam sodium kepada logam litium adalah 1000 nisbah 1.
“Jadi kumpulan penyelidik kami dapat menghasilkan satu bateri yang boleh dijual dengan harga RM3 untuk satu unit,” jelasnya.
Faktor kedua yang adalah dari segi keselamatan iaitu dengan mengaplikasikan cecair berionik yang merupakan pelarut hijau ke dalam sistem bateri yang dihasilkan.
Kemudiannya kandungan cecair berionik ditukarkan kepada pepejal polimer elektrolit dengan mengedopkan (dopant) cecair tersebut ke dalam polimer yang di dipanggil host polymer dan akhirnya membentuk kepingan plastik lutsinar.
Penghasilan polimer elektrolit ini mengelakkan berlakunya kebocoran dalam sistem bateri.
“Kumpulan penyelidik kami telah tukar pelarut konvensional solvent kepada pelarut hijau, jadi bila kita menggunakan bateri ini, tiada kemalangan yang tidak diingini berlaku contohnya kebakaran.
“Atau sedang memandu kereta, tiba-tiba meletup atau dalam penerbangan telefon bimbit meletup. Ini kerana kami menggunakan pelarut hijau yang api tak boleh hinggap dan tidak akan menyebabkan litar pintas,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dr Azri turut melahirkan rasa gembira sebagai penerima Merdeka Award Grant for International Attachment 2019 dan peluang itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk berjumpa dengan ‘dewa bateri’.
“Merdeka Award Grants secara asasnya kita dapat duit. Jadi saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk saya jumpa ‘the god of battery’. Untuk saya betul-betul duduk dan berbincang bahawa ini adalah idea saya.
“Ini adalah apa yang telah saya lakukan dan mungkin mereka ada komen sebelum kita boleh jalinkan kerjasama. Merdeka Award Grant adalah satu penghubung antara saya dan sumber inspirasi saya,” katanya.
Sebagai rekod, Merdeka Award Grant ditubuhkan oleh Petronas, ExxonMobil dan Shell pada 27 Ogos 2007 untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada individu dan organisasi yang cemerlang dan prestasi yang telah menyumbang kepada pertumbuhan negara dan kebesaran inspirasi rakyat Malaysia.
Ia adalah anugerah berprestij yang menghormati kerja cemerlang dan pencapaian yang telah memberi kesan kepada negara dan rakyatnya dalam kategori berikut iaitu Pendidikan dan Masyarakat; Persekitaran serta Kesihatan, Sains dan Teknologi.
Merdeka Award Grant diberikan kepada rakyat Malaysia berumur antara 22 dan 35 tahun untuk mengadakan program kerjasama jangka pendek (sehingga tiga bulan) di institusi dan organisasi yang terkenal di dunia.
#keselamatan
#kesihatan
#Malaysia
#Merdeka Award Grant 2019
#NGO
#pendidikan
#Petronas
#rakyat
#remaja
#UiTM