Lima peniaga sorok minyak akan didakwa Isnin
Azyyati Ahmad
November 4, 2016 15:12 MYT
November 4, 2016 15:12 MYT
Lima peniaga akan didakwa di Mahkamah Isnin ini atas kesalahan menyorok minyak masak di premis masing-masing.
Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, lima kes tersebut melibatkan hampir 50 tan metrik minyak yang disorok direkodkan di Pulau Pinang (1), Kuala Lumpur (2), Perak (1) dan Melaka (1).
Kesemua peniaga itu akan dikenakan tindakan sewajarnya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Lima peniaga ini akan dijatuhkan hukuman dalam masa terdekat dan selewat-lewatnya awal minggu ini.
“Denda yang boleh dikenakan untuk kesalahan pertama di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 adalah sebanyak RM1 juta dan bagi kesalahan kedua RM3 juta," katanya ketika ditemui selepas Operasi Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) di sini hari ini oleh KPDNKK.
Dalam pada itu menurut Jamil kertas siasatan telah dibuka untuk 13 kes lagi bagi pelbagai kesalahan melibatkan minyak masak.
Jamil yakin isu minyak masak hanya bersifat sementara memandangkan jumlah bekalan masih mencukupi.
“Saya percaya isu ini akan pulih dalam masa terdekat kerana bekalan minyak masak sebenarnya ada hanya disebabkan pembelian panik dan segelintir peniaga yang bertindak menyorok bekalan,” katanya.
Beliau turut menambah sebanyak 189 aduan mengenai minyak masak diterima dari Oktober sehingga November, yang mana aduan tertinggi adalah dari negeri Selangor iaitu sebanyak 56 aduan.
Operasi hari ini diadakan serentak di seluruh negara dan ia turut disertai Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Henry Sum Agong serta Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin.