Lima pemandu Lamborghini dibebaskan dengan jaminan polis

Sinar Harian
Julai 30, 2023 13:13 MYT
Polis telah selesai mengambil keterangan daripada kesemua pemandu kereta mewah berkenaan pada Sabtu. - Gambar/ Media sosial
KOTA TINGGI: Lima pemandu kereta mewah yang dikesan menandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru baru-baru ini telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, polis telah selesai mengambil keterangan daripada kesemua pemandu kereta mewah berkenaan pada Sabtu.
“Lima pemandu kereta mewah itu telah tampil memberikan keterangan semalam (Jumaat) dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Pada Sabtu, polis telah mengenal pasti dan akan memanggil lima pemandu kereta mewah jenis Lamborghini yang dikesan memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru baru-baru ini.
Lima pemandu dan kenderaan masing-masing berjaya dikesan menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh orang awam pada Jumaat.
Rakaman video berdurasi 71 saat itu mendapati konvoi kereta mewah berkenaan dipandu dalam keadaan berbahaya dengan memotong kenderaan lain secara melulu sehingga boleh menyebabkan kemalangan.
Aksi memandu secara berbahaya itu didapati dilakukan di Lebuhraya Senai-Desaru dan pergerakan kenderaan adalah dari Senai menghala ke Bandar Penawar kerana dikatakan terlibat dalam satu program di sana.
Kesemua pemandu terbabit yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 44 hingga 64 tahun merupakan orang tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan. - Sinar Harian
#video tular #Lamborghini #polis #pandu secara berbahaya
;