Lima pekerja am terpijak tumpahan merkuri di HTJ
Bernama
Februari 23, 2019 18:44 MYT
Februari 23, 2019 18:44 MYT
Lima pekerja am berjaya dinyah cemar oleh pihak bomba susulan tumpahan raksa disyaki daripada termometer yang pecah di Klinik Pakar Hospital Tuanku Jaafar berdepan dengan klinik pesakit luar di hospital berkenaan, di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 2.34 petang itu, lima pekerja itu, yang memakai kasut, difahamkan terpijak dengan cecair di lantai klinik tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idrus berkata, pihaknya menerima panggilan sebaik sahaja kejadian itu dan bergegas ke lokasi bersama-sama pasukan Hazmat sebelum mengambil masa sejam untuk melakukan proses pembersihan.
"Kita mendapati terdapat sedikit kesan bahan tersebut di atas lantai yang disyaki dari termometer yang pecah. Bagaimanapun, kita tidak menemukan sisa-sisa termometer tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
-- BERNAMA