Lima parah, 14 cedera ringan dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS

Nazialita Geynna Maharan
Februari 24, 2017 17:47 MYT
Lima parah dan 14 cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan sebuah treler di Km257 Lebuhraya Utara-Selatan. - Gambar hiasan
Lima cedera parah dalam kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat dengan treler di Kilometer 257 berhampiran dengan Terowong Menora,di Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) pada awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian sekitar 2 pagi itu, seramai 14 orang yang berada di dalam bas yang dipercayai dalam perjalanan dari Kangar ke Klang turut mengalami kecederaan ringan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Pegawai Bomba Kanan II Halim Mat Siga berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 2.35 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
"Setibanya kami di tempat kejadian, kami mendapati masih ada mangsa yang cedera berada di dalam bas dan sebahagian lagi telah turun.
"Kemalangan terbabit apabila bas ekspres yang membawa kesemua penumpang merempuh bahagian belakang sebuah treler dengan muatan getah," katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, pihak bomba kemudian bertindak membawa mangsa turun dari bas dengan menggunakan stretcher dan kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi rawatan lanjut.
"Pemandu dan pemandu kedua tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat sepenuhnya sekitar 4 pagi,"katanya lagi.
#Halim Mat Siga #HRPB #Terowong Menora
;