Lima pakej Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dalam pembinaan
Bernama
Mac 21, 2023 12:50 MYT
Mac 21, 2023 12:50 MYT
KOTA BHARU: Lima pakej dalam Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sedang dalam pembinaan manakala dua pakej lagi sudah siap sepenuhnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan Datuk Azami Mohd Nor.
Beliau berkata projek pembinaan sepanjang 66.88 kilometer (km) yang dipecahkan kepada tujuh pakej itu, menelan kos RM2.33 bilion.
"Pakej 1B iaitu Pasir Hor ke Kadok dan Pakej 2A iaitu Kadok ke Ketereh sudah siap sepenuhnya dan telah digunakan.
"Sementara Pakej 2B iaitu Ketereh ke Kok Lanas masih dalam peringkat pembinaan dan kemajuan bagi pakej ini berdasarkan jadual sudah 100 peratus, namun yang sebenar masih 80 peratus. Pakej ini berjalan dalam tempoh denda iaitu RM30,000 sehari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.
Bagaimanapun, Azami berkata Jabatan Kerja Raya sudah mengeluarkan pengakuan kerja tidak siap kepada pihak kontraktor yang terlibat
"Bagi pakej 3B iaitu dari Kampung Berangan Mek Nab ke Kampung Keruh ia dahulunya merupakan pakej lebuh raya rakyat membabitkan 10 km dan sudah diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk disiapkan.
"Kerajaan pusat sudah bersetuju mengambil alih pembinaan namun tanpa hutang. Kita berhutang sebanyak RM60 juta dan kita berharap jasa baik kerajaan supaya mengambil projek berkenaan termasuk dengan hutang," katanya.
Menurutnya bagi pakej 2C (Kok Lanas-Machang) dan 3A (Machang ke Bukit Tiu) pula dijangka siap pada 5 Mac 2026 kerana mengalami kelewatan 44 peratus daripada tempoh yang ditetapkan.
"Bagi pakej 3C dari Kampung Keruh ke Kuala Krai pula kemajuan kerja bagi pakej ini adalah 6.23 peratus dan dijangka siap pada 26 Dis 2025," katanya.
-- BERNAMA