Lima nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara
Sinar Harian
September 27, 2022 07:00 MYT
September 27, 2022 07:00 MYT
GEORGE TOWN: Lima kru warga Indonesia ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang pada jam 4.10 petang, Isnin selepas didapati menangkap ikan dalam perairan negara.
Pengarahnya, Kepten Abd Razak Mohamed berkata, mereka ditahan pada kedudukan 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini ketika pihaknya menjalankan Op Tanjung.
Menurutnya, ia adalah tangkapan kedua membabitkan bot nelayan asing dari Indonesia pada bulan ini di perairan Pulau Pinang yang mana, tangkapan pertama pada 14 September lalu iaitu di 51 batu nautika barat daya Pulau Kendi.
Bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara ketika rondaan dijalankan. Ketika pemeriksaan dilakukan, bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara itu dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk tekong berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun.
"Tiga daripada mereka didapati masih di bawah umur. Mereka juga didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Tambah beliau, kesemua tangkapan ditahan dan akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Kes juga akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) kerana memperdagangkan kanak-kanak.
"Bot bersama kru termasuk tekong dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban bagi diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut," katanya. - Sinar Harian