Lima nelayan Indonesia diculik di Lahad Datu - Hazani
Ridzal Abdullah
Januari 18, 2020 08:33 MYT
Januari 18, 2020 08:33 MYT
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) Datuk Hazani Ghazali hari ini mengesahkan terdapat kejadian dipercayai kes culik melibatkan lima nelayan warga Indonesia di Perairan Tambisan, di sini, Khamis lepas.
Beliau mengesahkan insiden tersebut ketika dihubungi pemberita awal pagi ini.
Pada Jumaat, beberapa portal agensi berita melaporkan dengan memetik sumber, satu kes culik berlaku, namun pihak ESScom tidak memberi sebarang pengesahan lanjut.
Menurut Hazani hari ini, semasa kejadian yang berlaku antara pukul 9 dan 10 malam itu, lapan lelaki dipercayai menaiki kapal nelayan tersebut sebelum lima daripada mereka disyaki diculik.
Pada masa sama, katanya, terdapat tiga nelayan yang terselamat.
Jelasnya, pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat lanjut dari tiga nelayan yang selamat.
Terdahulu malam tadi, Bernama melaporkan, lapan nelayan dipercayai hilang di perairan Tambisan, Tungku, dekat Lahad Datu.
Memetik sumber, sebuah kapal nelayan yang berdaftar di Sandakan dikatakan ditemui tanpa anak kapal di perairan Tangusu Bay pada 12.40 tengah hari Jumaat.
Difahamkan, lokasi kapal itu ditemui berhampiran dengan lokasi kejadian culik yang berlaku sebelum ini.
#culik
#ESSCom
#Hazani Ghazali
#Indonesia
#keselamatan
#Lahad Datu
#nelayan
#Perairan Tambisan
#Sabah
#Tangusu Bay
#warga Indonesia