Lima negeri tidak dijemput ke mesyuarat khas, KSN mohon maaf

Astro Awani
Mac 17, 2020 20:49 MYT
MOHD ZUKI: Sehubungan itu, saya bagi pihak urusetia mesyuarat ingin memohon maaf atas kekhilafan yang timbul. - Gambar fail
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini memohon maaf atas kekhilafan berkaitan jemputan ke Mesyuarat Khas mengenai COVID-19 yang hanya dikeluarkan kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri parti komponen Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun mengarahkan agar semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir tanpa ada sebarang pengecualian.
"Sehubungan itu, saya bagi pihak urusetia mesyuarat ingin memohon maaf atas kekhilafan yang timbul berkaitan dengan jemputan yang hanya dikeluarkan kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri Kerajaan Negeri dari Parti Komponen Kerajaan Persekutuan.
"Bagi Negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, hanya Pengarah Pembangunan Negeri yang dijemput hadir," katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd Zuki turut menegaskan bahawa Perdana Menteri memandang serius tentang perkara ini dan menyatakan pendirian jelas beliau untuk bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri tanpa mengambil kira latar belakang parti politik.
Justeru, katanya Muhyiddin telah mengeluarkan arahan supaya semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir mesyuarat khas bagi menangani penularan COVID-19 pada masa akan datang.
Terdahulu, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) telah mengutarakan rasa kesal kerana Menteri Besar dan Ketua Menteri dari lima negeri tidak dijemput ke mesyuarat khas bersama Perdana Menteri bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Pakatan Harapan difahamkan bahawa Menteri-Menteri Besar Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan serta Ketua-Ketua Menteri Sabah dan Pulau Pinang tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat khas ini," kata PH dalam satu kenyataan pada Selasa.
Majlis Setiausaha PH turut menggesa Putrajaya agar segera memanggil pertemuan bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri ini, demi kemaslahatan dan keselamatan warga negeri-negeri tersebut.
#ketua setiausaha negara #Mesyuarat Khas #Mohd Zuki Ali #mohon maaf #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri
;