Lima negara tekan kepentingan FPDA sebagai peraturan pertahanan telus

Astro Awani
Oktober 3, 2023 18:07 MYT
Lima wakil negara anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) menegaskan komitmen mereka terhadap FPDA dan prinsip-prinsip asas peraturan pertahanan. -Foto Facebook ATM
KUALA LUMPUR: Lima wakil negara anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) menegaskan komitmen mereka terhadap FPDA dan prinsip-prinsip asas peraturan pertahanan.
Pendirian tersebut dinyatakan oleh Malaysia, Australia, New Zealand, Singapura, dan United Kingdom (UK) dalam kenyataan bersama selepas Persidangan Panglima Angkatan Tentera (FDCC) FDPA ke-22, yang dianjurkan oleh Malaysia hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, kelima-lima negara turut menekankan tentang kepentingan FPDA sebagai peraturan pertahanan yang telus, konstruktif dan aman serta menyumbang kepada landskap keselamatan serantau.
"Pada persidangan ini, Panglima Angkatan Tentera negara-negara FPDA telah menegaskan komitmen mereka terhadap FPDA serta prinsip-prinsip asas peraturan pertahanan tersebut serta kepentingan prinsip 3R (Remit, Relevance, and Reassurance) sebagai panduan kepada pembangunan FPDA.
"Negara-negara FPDA juga akan terus menyesuaikan evolusi cabaran keselamatan melalui pengukuhan nilai operasi dalam bidang peperangan konvensional, di samping membangunkan kapasiti dalam keselamatan maritim, anti-keganasan, bantuan kemanusiaan dan bencana, serta domain siber dan maklumat," demikian menurut kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia, hari ini.
FDCC yang dianjurkan secara penggiliran antara Malaysia dengan Singapura merupakan persidangan profesional ketenteraan peringkat tertinggi yang menyediakan platform untuk Panglima Angkatan Tentera negara-negara anggota FPDA berdialog serta bekerjasama dalam skop rangka kerja FPDA.
Pada persidangan kali ini, Malaysia diwakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Turut serta dalam persidangan ini ialah Ketua Angkatan Pertahanan Australia, Jeneral Angus Campbell; Ketua Pertahanan Pasukan New Zealand, Marshal Udara Kevin Short; Panglima Angkatan Pertahanan Singapura, Naib Laksamana Aaron Beng; serta Naib Ketua Staf Pertahanan UK, Jeneral Gwyn Jenkins
Kenyataan itu menambah, panglima Angkatan Tentera negara-negara FPDA turut membincangkan strategi bagi meningkatkan nilai eksesais FPDA, berdasarkan keperluan untuk mempunyai fleksibiliti dan kebolehsuaian untuk bertindak balas terhadap landskap keselamatan yang dinamik.
Persidangan turut menggariskan pelan hala tuju lima tahun untuk kemajuan FPDA, yang dijangka memacu evolusi latihan FPDA serta inisiatif dalam meningkatkan kapasiti untuk operasi konvensional dan bukan konvensional.
Selain itu, kejayaan pelaksanaan Eksesais BERSAMA SHIELD 2023 dan pandangan positif terhadap eksesais tersebut membuktikan kesepaduan dan kekuatan negara ahli FPDA dalam menghadapi cabaran semasa.
#keselamatan negara #Angkatan Tentera Malaysia #Peraturan Pertahanan Lima Negara #FPDA
;