Lima murid dijangkiti influenza di Pahang

Astro Awani
Januari 12, 2020 15:56 MYT
Menurutnya, bagi jangkitan Influenza A, dua murid direkodkan dari daerah Kuantan, manakala Cameron Highlands dan Raub masing-masing satu kes. - Gambar hiasan
KUANTAN: Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan lima murid di negeri itu dilaporkan dijangkiti Influenza sejak Januari lalu. Empat murid dijangkiti Influenza A manakala seorang lagi dijangkiti Influenza B.
Pengarahnya, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata, laporan itu diperolehinya daripada Jabatan Kesihatan negeri Pahang (JKNP) membabitkan murid daripada empat buah sekolah.
Menurutnya, bagi jangkitan Influenza A, dua murid direkodkan dari daerah Kuantan, manakala Cameron Highlands dan Raub masing-masing satu kes. Bagi Influenza B pula, satu murid di Cameron Highlands.
Kesemua murid yang dijangkiti Influenza A sedang dirawat di hospital dan seorang yang dijangkiti Influenza B sedang berada di rumah untuk tujuan kuarantin.
Beliau berkata, setakat ini angka tersebut masih belum membimbangkan, dan tidak melibatkan sebarang penutupan sekolah.
Tambah Dr Tajuddin, semua guru di setiap sekolah diminta supaya lebih peka dengan situasi yang sedang berlaku dan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan virus itu dalam kalangan murid ataupun pelajar di sekolah, segera mendapatkan rawatan segera.
#Hospital #Pahang #Cameron Highlands #Kuantan #pelajar #pendidikan #kesihatan #guru #virus #Influenza A #influenza B #Jabatan Pendidikan Negeri Pahang #Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus
;