Lima muka baru dalam Exco Melaka

Astro Awani
Mei 14, 2013 16:33 MYT
Lapan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka termasuk lima muka baharu mengangkat sumpah jawatan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.
Tiga Adun yang dilantik semula sebagai anggota Exco ialah Adun Ayer Molek Datuk Md Yunos Husin yang memegang portfolio Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi; Adun Asahan Datuk Wira Abd Ghafar Atan (Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek) dan Adun Telok Mas Datuk Wira Latiff Tamby Chik (Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi).
Lima muka baharu yang dilantik sebagai anggota Exco ialah Adun Pantai Kundor Datuk Ab Rahaman Ab Karim (Kesihatan dan Pembangunan Sukan); Adun Taboh Naning Datuk Latipah Omar (Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan) dan Adun Sungai Rambai Datuk Hasan Abd Rahman (Pertanian dan Pembangunan Usahawan).
Istiadat mengangkat sumpah berkenaan dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada pukul 10 pagi tadi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ir Idris Haron yang turut menggalas beberapa portfolio berkata, “Saya ketua menteri kepada semua kaum."
Dalam pada itu, dua kuota parti MCA dalam barisan anggota Exco dikosongkan buat sementara sehingga parti berkenaan membuat resolusi untuk kembali memegang jawatan dalam kerajaan.
Setakat ini portfolio berkenaan akan digalas Datuk Wira dan bakal berlaku rombakan kecil sekiranya MCA sedia mengisi kekosongan kerusi terbabit.
Beliau yang bakal mempengerusi mesyuarat exco buat pertama kali esok memberitahu akan melihat perkembangan suasana politik semasa sebelum memutuskan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, beliau berhasrat setiap adun dapat memahami peraturan dewan dengan membawa usul-usul yang berasaskan kajian berkualiti dan kuantitatif bagi membentuk DUN yang mampu disegani rakan dan lawan.
#ADUN #baru #DUN #Exco #Ketua Menteri #lama #Melaka
;