Lima motosikal di tempat parkir musnah terbakar

Bernama
Februari 14, 2024 12:50 MYT
Anggota bomba memadamkan kebakaran motosikal di Pangsapuri Kota Emas, Jelutong. - Gambar/ PBS Perak Lane
GEORGE TOWN: Lima motosikal yang diletakkan di kawasan parkir Blok 90 Pangsapuri Kota Emas, Jelutong, di sini terbakar, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Perak digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 9.44 malam.
"Kebakaran melibatkan lima motosikal dengan tiga daripadanya belum dikenal pasti, musnah 90 peratus.
"Dua lagi motosikal jenis Honda EX5 dan SYM terbakar lima peratus," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata operasi yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Perak Lane dan Paya Terubong, berjaya memadam sepenuhnya kebakaran dalam tempoh sejam.
Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
Operasi tamat pada 11.03 malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
#motosikal terbakar #parkir motosikal #kebakaran motosikal #pulau pinang
;